fb fb fb fb fb

Belian baharu tingkatkan Bursa Malaysia

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Bursa Malaysia memulakan minggu ini dalam sentimen positif dengan kembalinya minat baharu selepas pembetulan baru-baru ini.

Pada 9.05 pagi, FBM KLCI naik 2.28 mata kepada 1,602.95 daripada 1,600.67 pada Jumaat lepas.

Indeks barometer dibuka tinggi 1.63 mata kepada 1,602.30.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 263 berbanding 135 manakala 323 kaunter tidak berubah, 1,629 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 200.60 juta unit bernilai RM111.84 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka FBM KLCI diniagakan pada kecenderungan meningkat hari ini, disokong oleh penggantungan kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

“Tumpuan adalah pada Indeks Harga Pengguna (IHP) pada April yang akan dikeluarkan pada 15 Mei. Sehubungan itu, Dow Jones Index Average meningkat 125.0 mata manakala Nasdaq merosot 5.0 mata berikutan hasil 10 tahun AS naik kepada 4.50 peratus,” katanya.

Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak kepada paras hampir 19,000, didorong oleh keyakinan baharu terhadap pemulihan ekonomi China dan keputusan Xian untuk menghapuskan sekatan pembelian hartanah berikutan peneraju Hangzhou, menyasarkan untuk memacu pertumbuhan dalam sektor hartanah.

Dalam negara, saham wajaran tinggi Genting dan PPB, masing-masing meningkat 16 sen kepada RM4.71 dan RM15.64 manakala Genting Malaysia naik enam sen kepada RM2.69.

YTL dan CIMB, masing-masing menambah tiga sen kepada RM3.43 dan RM6.80 manakala Petronas Chemicals naik empat sen kepada RM6.95.

Bagi saham aktif, KNM dan Sealink International, masing-masing meningkat satu sen kepada 8.0 sen dan 23 sen, AwanBiru Technology melonjak 17.5 sen kepada 43 sen manakala AHB tidak berubah pada 16.5 sen dan Powerwell merosot 1.5 sen kepada 43 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 24.76 mata kepada 12,111.44, Indeks FBMT 100 meningkat 22.93 mata kepada 11,720.10 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 17.42 mata kepada 12,301.97.

Indeks FBM 70 melonjak 58.84 mata kepada 17,019.21 manakala Indeks FBM ACE naik 21.68 mata kepada 5,188.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 14.73 mata kepada 17,537.50, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.42 mata kepada 192.69, Indeks Perladangan menambah 1.02 mata kepada 7,425.45 dan Indeks Tenaga naik 0.99 mata kepada 986.15. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF