fb fb fb fb fb

305 siswazah sertai JumPER GREAT PUNB 2023

Kenyataan PUNB

KUALA LUMPUR, 4 November - Seramai 305 siswazah belia bumiputera terpilih menyertai Program JumPER GREAT PUNB 2023 untuk tempoh tiga bulan.

Sepanjang tempoh itu mereka akan menjalani program latihan keusahawanan digital sebelum layak mendapat Geran Dana Permulaan Perniagaan.

Menerusi kenyataan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), geran tersebut bagi membolehkan peserta memulakan perniagaan secara dalam talian.

"Bagi peserta yang tidak mempunyai produk untuk dipasarkan, PUNB akan menghubungkan mereka dengan syarikat terpilih menerusi program padanan perniagaan.

"JumPER GREAT yang julung kali dilaksanakan, menerima lebih seribu permohonan dalam tempoh 24 jam sebaik permohonan dibuka 3 Oktober lepas," kata PUNB menerusi kenyataan itu.

Program dengan peruntukan dana berjumlah RM3.5 juta itu bertujuan membudayakan keusahawanan dalam kalangan belia bumiputera.

Sekali gus meningkatkan penyertaan usahawan yang lebih berkualiti dan mahir dalam penggunaan teknologi digital, selaras dengan era digital.

TETITIA YUSOFF