
BUENOS AIRES, 20 September – Polis Ecuador merampas lebih 1.5 tan kokain dalam operasi pada waktu malam yang melibatkan penggunaan bahan letupan, kata Menteri Dalam Negeri John Reimberg pada Sabtu menerusi platform media sosial X, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
- Bahan letupan digunakan untuk membuka laluan ke tempat persembunyian bawah tanah berhampiran bandar Manta.
- Lokasi rahsia itu musnah sepenuhnya.
- Polis menemui 1,353 bungkusan kokain yang disembunyikan dalam 55 guni.
- Anggaran nilai berbeza antara lebih AS$64 juta dan AS$45 juta menurut pihak berkuasa.
Beliau berkata bahan letupan digunakan untuk membuka laluan ke sebuah tempat persembunyian bawah tanah berhampiran bandar pesisir Manta.
Lokasi rahsia itu musnah sepenuhnya.
Reimberg berkata polis menemukan sejumlah 1,353 bungkusan kokain yang disembunyikan dalam 55 guni.
Terdapat perbezaan anggaran mengenai nilai dadah berkenaan.
Reimberg menganggarkan nilainya bersamaan lebih AS$64 juta, manakala polis dalam satu kenyataan meletakkan nilainya pada AS$45 juta.
Polis menyifatkan rampasan itu sebagai “tamparan hebat terhadap kewangan dan struktur jenayah perdagangan dadah”.
Operasi itu dijalankan ketika perintah berkurung pada waktu malam yang dikuatkuasakan sejak beberapa hari lalu di beberapa wilayah Ecuador.
Kerajaan Presiden Daniel Noboa mahu memperhebat usaha memerangi kumpulan jenayah terancang.
Dalam tempoh dua hari pertama perintah berkurung, seramai 150 orang ditahan, kata Reimberg kepada saluran televisyen Teleamazonas.
Ecuador menjadi negara transit bagi kokain dari negara jiran seperti Colombia dan Peru.
Kurang dua minggu lalu, polis merampas lebih dua tan kokain di pelabuhan Machala yang disembunyikan dalam peti berisi pisang untuk dieksport ke Sweden.
Pada April tahun ini, penyiasat di Pelabuhan Hamburg menemukan kokain yang diseludup dari Ecuador dalam sebuah kontena berisi pisang.
Kokain bernilai kira-kira €30 juta (AS$34 juta) itu dibungkus dalam 1,600 bungkusan.- BERNAMA