fb fb fb fb fb

Zarah UFP sebabkan kematian-Penyelidik

Foto REUTERS

MONTREAL, 10 Ogos-Pencemaran udara diakibatkan oleh ‘zarah ultrahalus’ (UFP) melalui kenderaan dan aktiviti perindustrian, didakwa menyebabkan kira-kira 1,100 kematian setahun di Montreal dan Toronto, menurut penyelidikan baharu dari Kanada.

Zarah yang 1,000 kali lebih nipis daripada sehelai rambut itu, mampu menyebabkan penyakit kardiovaskular dan kanser dalam kalangan orang dewasa.

Manakala pendedahan untuk jangka masa yang lama kepada zarah tersebut boleh meningkatkan kadar kelahiran bayi pramatang menerusi kajian penyelidikan yang diterbitkan awal minggu ini dalam American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine dan merupakan yang pertama seumpamanya di Kanada.

“Zarah UFP sangat kecil, membolehkannya menembusi jauh ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah,” kata ketua penyelidik kajian dan profesor di Universiti McGill, Scott Weichenthal kepada AFP.

Menerusi kajian berkenaan, penyelidik turut mengukur tahap pencemaran udara di Toronto dan Montreal di kawasan kejiranan yang didiami oleh sejumlah 1.5 juta penduduk dewasa, antara tahun 2001 dan 2016.

Hasil kajian berkenaan mendapati pendedahan berterusan kepada UFP dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian akibat bukan kemalangan sebanyak tujuh peratus.

Kajian itu turut mendapati Kawasan yang terletak berhampiran dengan jalan raya utama, lapangan terbang dan landasan kereta api mempunyai kandungan UFP yang tinggi.

Kajian berkenaan selari dengan penemuan yang dilakukan para penyelidik di Eropah-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD