fb fb fb fb fb

Tiga pegawai polis ditahan dalam operasi dadah Belgium

Foto Hiasan/ AFP

BRUSSELS, 17 Januari- Pihak berkuasa Belgium semalam memaklumkan pihaknya menahan 22 orang termasuk tiga pegawai polis dalam operasi besar-besaran anti-dadah menyasarkan penyeludup kokain di pelabuhan Antwerp.

Polis Persekutuan, dalam kenyataan, memaklumkan kira-kira 350 pegawai dikerahkan, terutamanya ke Brussels dan Antwerp membabitkan 45 pencarian yang menghasilkan rampasan wang tunai, kenderaan mewah dan pistol.

Menurut polis, operasi itu adalah sebahagian daripada siasatan yang dilancarkan pada Februari 2023 yang dicetuskan oleh 'beberapa jenayah serius' mendedahkan pengedaran dadah 'daripada pengedar tempatan kepada operasi import atau eksport'.

Pasukan penyiasat berjaya menyahsulit beberapa telefon yang dilengkapi dengan Sky ECC, aplikasi komunikasi selamat yang digunakan oleh kumpulan penjenayah.

Kejayaan penangkapan itu berlaku ketika Belgium sedang mengadakan perbicaraan besar pengedaran dadah dengan lebih 120 defendan di kandang tertuduh, sebahagian besarnya berterima kasih selepas penyiasat memecahkan aplikasi pemesejan yang disulitkan.

Antwerp mencatatkan rekod rampasan dadah oleh polis dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menjadi pelabuhan kemasukan utama Eropah untuk kokain dari Amerika Selatan apabila penggunaan dadah itu meningkat di benua itu - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI