BANGKOK, 18 Ogos - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra menerima pengampunan diraja, memendekkan parolnya selama dua minggu, kata peguamnya pada Sabtu, sehari selepas anak perempuannya dipilih sebagai Perdana Menteri oleh Parlimen.
Selepas kembali pada Ogos lalu dari buangan untuk mengelak daripada dipenjara ekoran penggulingannya dalam rampasan kuasa tentera 2006, Thaksin menjalani tahanan selama enam bulan di hospital atas sebab kesihatan sebelum dibebaskan dengan parol pada Februari.
Selepas kepulangannya, dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana menyalahgunakan kuasa dan konflik kepentingan semasa memegang jawatan dari 2001 hingga 2006 dan hukumannya telah diringankan kepada satu tahun oleh Raja Maha Vajiralongkorn pada September lalu.
"Thaksin adalah antara banduan yang menerima pengampunan diraja" untuk banduan sempena hari keputeraan raja bulan lalu, peguamnya, Winyat Chartmontri, memberitahu Reuters. "Ia akan berkuat kuasa pada Ahad."
Parol, yang diberikan pada Februari, sepatutnya berakhir pada penghujung bulan namun dipendekkan kepada Ahad sebagai sebahagian daripada pengampunan diraja, kata Wiyat.
Anak perempuan Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, 37, telah dipilih pada Jumaat sebagai Perdana Menteri wanita kedua Thailand dan Shinawatra ketiga untuk memegang jawatan itu, menang dengan hampir dua pertiga daripada Parlimen Thailand.
Sekutu Thaksin, Srettha Thavisin telah dipecat sebagai Perdana Menteri pada Rabu oleh Mahkamah Perlembagaan kerana melanggar etika.-REUTERS