BAITULMAQDIS, 31 Oktober- Polis Israel berkata mereka telah menahan sepasang suami isteri yang disyaki mengintip bagi pihak Iran, hanya seminggu selepas dua kumpulan lain yang dikatakan bekerja untuk Tehran turut ditahan.
Menurut kenyataan dari pihak polis dan agensi keselamatan dalaman Israel, Shin Bet, pasangan yang dikenali sebagai Rafael dan Lala Goliev dari bandar Lod itu terlibat dalam pengumpulan maklumat tentang infrastruktur nasional, lokasi keselamatan dan pemantauan seorang ahli akademik wanita.
Kedua-dua mereka didakwa direkrut oleh Elshan Agayev, seorang warga Azerbaijan yang dipercayai bertindak bagi pihak pegawai Iran.
Agayev dikatakan mengarahkan Golievs untuk melakukan pemantauan di tapak sensitif di Israel, termasuk ibu pejabat agensi perisikan Mossad dan menyusun maklumat tentang seorang akademik di Institut Kajian Keselamatan Nasional di Tel Aviv.
Susulan penahan itu, beberapa siri tangkapan lain yang berkaitan dengan aktiviti perisikan bagi pihak Iran di Israel turut dijalankan.
Minggu lalu, tujuh warga Palestin dari Baitulmaqdis timur yang diduduki Israel ditahan kerana didakwa merancang serangan bagi pihak Iran, sementara tujuh warga Haifa turut ditangkap atas tuduhan menjalankan ratusan misi pengintipan atas arahan Iran.
Israel kini berdepam dengan konflik melibatkan kumpulan-kumpulan yang disokong Iran termasuk Hezbollah di Lebanon, Hamas di Gaza dan pemberontak Huthi di Yemen, menjadikan situasi itu semakin tegang dengan pendedahan aktiviti pengintipan.-AFP