
SAUDARA PENGARANG
- Reformasi sektor awam mesti menekankan perubahan nilai dan budaya kerja, bukan semata-mata sistem, prosedur atau teknologi.
- H.E.M.A.T. diperkenalkan sebagai kerangka nilai: Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi, Telus Tadbiran.
- Kepercayaan rakyat bergantung kepada integriti, ketelusan, akauntabiliti dan keupayaan institusi memenuhi jangkaan serta keperluan masyarakat.
- Kajian menunjukkan majoriti penjawat awam menghayati H.E.M.A.T., menandakan nilai berasas reformasi boleh memperkukuh budaya kerja.
Dalam era ketidaktentuan global, sektor awam berdepan cabaran yang semakin kompleks. Perkembangan teknologi, perubahan demografi, krisis geopolitik, peningkatan kos sara hidup serta jangkaan masyarakat yang semakin tinggi menuntut sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif.
Masyarakat hari ini bukan sahaja menuntut perkhidmatan yang cepat dan berkualiti, malah mengharapkan sistem pentadbiran yang lebih telus, responsif, cekap serta benar-benar memahami keperluan mereka.
Hakikatnya, kejayaan sesebuah kerajaan pada masa kini tidak lagi diukur berdasarkan jumlah dasar yang diperkenalkan atau bilangan program yang dilaksanakan semata-mata. Sebaliknya, masyarakat menilai sejauh mana sesuatu dasar memberikan impak secara langsung kepada kehidupan mereka.
Persoalan seperti sama ada rakyat benar-benar mendapat manfaat, sama ada perkhidmatan menjadi lebih mudah, serta sama ada institusi awam semakin dipercayai kini menjadi ukuran utama kepada keberkesanan pentadbiran negara.
Di peringkat antarabangsa, pelbagai laporan menunjukkan bahawa kepercayaan rakyat terhadap institusi awam menjadi antara cabaran utama yang dihadapi banyak negara.
Kajian oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) 2024 menunjukkan bahawa tahap kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan berkait rapat dengan keupayaan institusi awam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti, responsif dan memenuhi jangkaan rakyat.
Dalam konteks inilah agenda reformasi sektor awam perlu dilihat bukan sekadar sebagai usaha memperkukuh sistem pentadbiran, tetapi sebagai ikhtiar membina semula kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Apabila rakyat merasakan keperluan mereka belum dipenuhi sepenuhnya atau penglibatan mereka masih boleh dipertingkatkan, keyakinan terhadap institusi awam akan terjejas.
Dalam konteks Malaysia, cabaran tersebut memberi implikasi besar kepada sektor awam yang kini sedang melalui fasa transformasi secara menyeluruh. Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) misalnya diperkenalkan bagi memperkukuh sistem pentadbiran negara agar lebih dinamik, responsif dan berorientasikan rakyat.
Reformasi ini bukan sekadar menumpukan kepada perubahan struktur organisasi atau penambahbaikan prosedur kerja, tetapi turut menuntut perubahan terhadap cara berfikir, budaya kerja dan nilai yang menjadi pegangan penjawat awam.
Persoalan utama ialah, mampukah reformasi sektor awam benar-benar berjaya sekiranya perubahan hanya tertumpu kepada sistem, prosedur dan teknologi, sedangkan nilai serta budaya kerja tidak berubah?
Pengalaman di banyak negara menunjukkan bahawa pembaharuan institusi berdepan cabaran untuk mencapai hasil yang diharapkan apabila perubahan hanya berlaku pada struktur, tetapi tidak menyentuh sikap dan nilai warga organisasi.
Walaupun pelbagai inisiatif reformasi telah dilaksanakan bagi memperkukuh sistem dan proses penyampaian perkhidmatan awam, usaha membentuk budaya kerja berasaskan nilai yang boleh diukur dan dipantau secara sistematik masih merupakan aspek yang boleh diperkukuh.
Di sinilah H.E.M.A.T. muncul sebagai kerangka nilai yang dapat memperkukuh agenda reformasi sektor awam Malaysia.
H.E.M.A.T. yang merangkumi Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran diperkenalkan sebagai nilai tambahan dalam perkhidmatan awam bagi membentuk budaya kerja yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing.
Berbeza dengan kebanyakan negara yang menumpukan pembangunan kompetensi, kemahiran dan pendigitalan, H.E.M.A.T. memberi fokus kepada pengukuhan nilai sebagai asas perubahan tingkah laku. Kompetensi menjadikan penjawat awam cekap, tetapi nilai menentukan bagaimana kecekapan itu digunakan demi kepentingan rakyat.
Kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia dan Universiti Utara Malaysia pada tahun 2026 melibatkan lebih 26,990 penjawat awam menunjukkan majoriti responden menghayati nilai H.E.M.A.T., sekali gus mencerminkan potensi pendekatan berasaskan nilai dalam memperkukuh budaya kerja sektor awam di Malaysia.
Namun demikian, perubahan terhadap sistem dan pembangunan kompetensi semata-mata tidak semestinya menjamin perubahan tingkah laku serta budaya kerja yang mampan.
Realitinya, cabaran sektor awam pada masa kini bukan lagi sekadar berkaitan kecekapan menyampaikan perkhidmatan, tetapi turut melibatkan persoalan integriti, kepercayaan rakyat, akauntabiliti dan keupayaan memahami keperluan masyarakat yang semakin kompleks.
Dalam konteks ini, H.E.M.A.T. boleh dilihat sebagai antara pendekatan yang unik dalam reformasi sektor awam kerana memberi fokus kepada pengukuhan dimensi nilai sebagai asas kepada pembentukan budaya organisasi yang mampan.
Nilai yang diterapkan bukan sekadar menjadi slogan organisasi, tetapi perlu diterjemahkan dalam setiap proses membuat keputusan, interaksi dengan masyarakat dan pelaksanaan dasar.
Pendekatan ini selari dengan prinsip tadbir urus baik yang menekankan integriti, ketelusan, akauntabiliti, penyertaan rakyat dan responsif terhadap keperluan masyarakat.
Prinsip tadbir urus baik turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah institusi awam bukan hanya bergantung kepada kecekapan operasi atau pencapaian prestasi, tetapi juga kepada sejauh mana nilai serta etika diterapkan dalam pentadbiran.
Malah, dalam persekitaran pentadbiran yang semakin kompleks, rakyat bukan sahaja mahu dilayan dengan cepat tetapi mahu dilayan dengan adil, dihormati dan difahami.
Oleh sebab itu, aspek seperti empati, integriti dan ketelusan bukan lagi dianggap elemen tambahan, sebaliknya menjadi keperluan utama dalam pentadbiran moden.
Masa depan reformasi sektor awam tidak lagi bergantung kepada teknologi semata-mata, tetapi kepada kemampuan institusi awam membina semula kepercayaan rakyat melalui nilai yang dipegang dan diamalkan secara konsisten.
Sistem boleh dibangunkan, prosedur boleh ditambah baik dan teknologi boleh dinaik taraf, namun tanpa nilai yang kukuh, reformasi mungkin hanya berlaku pada struktur tetapi tidak pada budaya.
Secara keseluruhannya, reformasi sektor awam bukan sekadar membina sistem yang lebih pantas, tetapi membina pegawai awam yang lebih berintegriti, berempati dan dipercayai.
Teknologi boleh mempercepatkan perkhidmatan, namun hanya nilai mampu mengembalikan kepercayaan rakyat. Sesungguhnya, reformasi yang berjaya bukan sekadar mengubah sistem, tetapi mengubah budaya dan cara berkhidmat kepada rakyat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof Madya Dr. Ahmad Aizuddin Md Rami
Penyelidik ADVOKASI
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
E-mel: ahmadaizuddin@upm.edu.my