fb fb fb fb fb

Sokongan merosot, Ishiba kecam laporan media berat sebelah

Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba/Foto REUTERS

TOKYO, 25 Oktober-Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, mengkritik laporan media yang didakwanya bersikap berat sebelah berhubung skandal dana parti LDP baru-baru ini yang menunjukkan parti gabungan mungkin gagal memperoleh majoriti dalam pilihan raya pada Ahad.

Ini merupakan kegagalan terburuk buat Parti Liberal Demokratik (LDP) yang telah memerintah Jepun selama tujuh dekad, sejak kali terakhir kehilangan kuasa pada tahun 2009 hingga 2012.

Laporan itu juga merupakan tamparan hebat buat Ishiba yang sebelum ini berjanji untuk tidak menyokong ahli LDP yang terlibat dalam skandal dana berkenaaan daripada bertanding pada pilihan raya.

Skandal berkenaan turut menjadi sasaran kemarahan kepada rakyat dan turut menjadi punca kejatuhan kepada bekas Perdana Menteri terdahulu, Fumio Kishida.

Laporan media itu turut mendedahkan parti berkenaan menyediakan 20 juta yen atau AS$132,000 untuk pejabat daerah yang diketuai oleh individu-individu yang dipercayai terpalit dengan isu dana rahsia parti berkenaan.

Pendedahan berkenaan mengecewakan Ishiba.

" Adalah sangat mengecewakan laporan sebegini timbul pada waktu seperti ini.

"Calon-calon itu tidak akan menggunakan wang tersebut", ” kata Ishiba dalam satu ucapan kempen pada Khamis.

Pemimpin pembangkang, termasuk bekas perdana menteri Yoshihiko Noda dari Parti Demokratik Perlembagaan (CDP), membalas kenyataan Ishiba.

"Bagaimanapun anda melihatnya, ini adalah wang tunai untuk menyokong secara rahsia," kata Noda dalam ucapan kempen.

"Ishiba marah dengan laporan-laporan ini? Apa yang anda katakan? Rakyat Jepun yang sebenarnya marah", katanya.

Ishiba, 67, hanya menjadi pemimpin LDP pada cubaan kelimanya bulan lalu dan mengambil alih jawatan perdana menteri pada 1 Oktober, lalu memanggil pilihan raya kilat untuk mengukuhkan kedudukannya.

Anggota LDP memilih Ishiba, seorang peminat kereta api dan idola pop tahun 1970-an, dengan harapan popularitinya di kalangan rakyat akan mengembalikan sokongan terhadap parti itu.

Beliau berjanji untuk mencipta "Jepun baharu yang akan mengubah secara drastik masyarakat Jepun", dengan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar yang terpinggir dan menangani krisis penurunan populasi dengan sokongan kepada keluarga melalui polisi waktu bekerja fleksibel.

Namun, beliau menukar pendiriannya mengenai isu seperti kebenaran bagi pasangan berkahwin untuk menggunakan nama keluarga berasingan, dan hanya melantik dua wanita sebagai menteri kabinetnya.

Tinjauan baru oleh Yomiuri Shimbun menunjukkan bahawa LDP dan rakan gabungannya, Komeito, mungkin bergelut untuk mencapai 233 kerusi di Dewan Rendah yang diperlukan bagi majoriti.

Ishiba telah menetapkan sasaran berkenaan, dan kegagalan mencapai sasaran tersebut akan melemahkan kedudukannya dalam LDP dan mungkin memaksanya mencari rakan gabungan lain atau memimpin kerajaan minoriti.

Di daerah pengundian, hanya 87 daripada 266 calon LDP mendahului saingan mereka, sementara 133 sedang bersaing sengit, kebanyakannya menentang calon-calon CDP.

LDP juga dijangka kehilangan puluhan kerusi yang ditentukan oleh sistem perwakilan berkadar Jepun, tambah Yomiuri.-AFP

 

ARTIKEL BERKAITAN

PM Jepun berdepan sokongan 'dingin' menjelang pilihan raya - Tinjauan

PM Jepun umum bubar Parlimen

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD