fb fb fb fb fb

Jerman umum tambah visa untuk pekerja mahir India

Perdana Menteri India, Narendra Modi (kiri) bersama Canselor Jerman, Olaf Scholz /Foto REUTERS

NEW DELHI, 25 Oktober-Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengumumkan bahawa Jerman akan meningkatkan jumlah visa bagi pekerja mahir dari India menjadikan kuota tahunan kepada 90,000 berbanding hanya 20,000 sebelum ini.

Pengumuman berkenaan dibuat Modi sempena lawatan Canselor Jerman, Olaf Scholz ke India bersama beberapa menteri kabinetnya.

Lawatan berkenaan merupakan kali ketiga Scholz ke Negara Asia Selatan itu sejak tahun lalu.

"Saya yakin langkah ini akan memberi momentum baharu kepada pertumbuhan Jerman.

"Apabila dinamika India bertemu ketepatan Jerman bertemu dan apabila kejuruteraan Jerman bergabung dengan inovasi India, masa depan yang lebih baik akan tercipta untuk Indo-Pasifik dan seluruh dunia", katanya.

India dan Jerman telah menandatangani perjanjian migrasi dua tahun lalu bertujuan memudahkan pergerakan profesional dan pelajar.

Selain itu, Berlin juga telah berjanji untuk mengurangkan kerumitan proses permohonan visa dan memperbaiki pengiktirafan kelayakan profesional dari India.

Kementerian Luar Negeri India menyatakan bahawa kerjasama antara kedua-dua negara telah "diperkukuh" sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini.

Scholz sendiri menyatakan di X bahawa "dalam dunia ini, kita memerlukan sahabat dan sekutu, seperti India dan Jerman."

Hubungan pertahanan antara Jerman dan India turut diperkuat minggu ini melalui latihan maritim pertama di Lautan Hindi, yang bertujuan meningkatkan hubungan maritim dan keserasian antara kedua-dua angkatan laut.

Namun begitu, terdapat perbezaan antara India dan Jerman berhubung Rusia.

Jerman memberi sokongan kuat kepada Ukraine, Modi pula menghadiri sidang kemuncak BRICS minggu ini, menyaksikan beliau mengukuhkan hubungan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Selain perbincangan mengenai isu geopolitik, lawatan Scholz juga dijangka akan melibatkan perbincangan mengenai hasrat India yang untuk meningkatkan pengeluaran hidrogen hijau, satu sumber tenaga bersih yang sangat diperlukan oleh Jerman berikutan pengurangan bekalan minyak dan gas dari Rusia.

Scholz dan delegasinya dijangka melawat Goa pada hari Sabtu untuk meninjau kapal-kapal tentera laut sebelum pulang ke Jerman pada sebelah petang.

Kali terakhir Scholz melakukan lawatan ke India adalah pada pada Februari 2023 serta pada sidang kemuncak G20 di New Delhi pada tahun yang sama.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD