fb fb fb fb fb

Serangan Israel bunuh 27 di Gaza, vaksinasi polio disambung

Foto Reuters

KAHERAH, 7 September- Serangan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin di seluruh Semenanjung Gaza pada Jumaat, menurut petugas perubatan ketika pegawai kesihatan menyambung semula vaksinasi terhadap puluhan ribu lagi kanak-kanak di kawasan itu bagi mencegah polio.

Di Nuseirat, salah satu daripada lapan kem pelarian di wilayah tersebut, serangan udara Israel membunuh dua wanita dan dua kanak-kanak, manakala lapan lagi orang terbunuh dalam dua serangan udara di Gaza City, menurut petugas perubatan.

Selebihnya terbunuh dalam serangan susulan di seluruh kawasan tersebut.

Sementara itu, penduduk Khan Younis dan keluarga yang dipindahkan dari Rafah terus memenuhi kemudahan perubatan, membawa anak-anak mereka untuk divaksinasi.

Kempen itu dilancarkan selepas penemuan kes seorang bayi berusia satu tahun yang sebahagiannya lumpuh.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berkata sekurang-kurangnya 160,000 kanak-kanak telah menerima titisan vaksin di kawasan selatan Gaza pada Khamis di mana kakitangan perubatan memulakan peringkat kedua kempen tersebut dengan memanfaatkan persetujuan antara Israel dan Hamas untuk menghentikan pertempuran sementara.

"Sejak 1 September @UNRWA & rakan-rakan telah memvaksin hampir 355,000 kanak-kanak terhadap #polio di kawasan tengah & selatan #Gaza," kata UNRWA dalam satu hantaran di X.

"Dalam beberapa hari akan datang, kami akan terus melancarkan kempen vaksinasi polio dengan matlamat untuk mencapai sekitar 640,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dengan vaksin kritikal ini," tambah agensi itu.

Juliette Touma, Pengarah Komunikasi UNRWA, memuji kempen itu sebagai kemajuan yang sangat dialu-alukan.

Beliau berkata UNRWA bekerjasama dengan UNICEF, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan-rakan kesihatan tempatan dalam perlumbaan melawan masa untuk memvaksin setiap kanak-kanak di seluruh Semenanjung Gaza.

"Penghentian sementara ini bagaimanapun tidak menggantikan seruan kami untuk gencatan senjata, ia sudah lama tertangguh. Sudah tiba masanya untuk mencapai perjanjian yang akan membawa kelegaan kepada rakyat Gaza, membebaskan semua tahanan dan membawa masuk bekalan komersial serta kemanusiaan secara berterusan ke Gaza," kata Touma kepada Reuters.

Kempen pemvaksinan akan beralih pada Ahad ke kawasan utara Semenanjung Gaza, yang menjadi fokus serangan ketenteraan besar-besaran Israel dalam tempoh 11 bulan yang lalu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN