fb fb fb fb fb

Serangan Israel bunuh 25 orang di Lubnan

Asap tebal kelihatan dari lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan kejiranan di pinggir selatan Beirut hari ini/AFP

BEIRUT, 7 Oktober- Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan 25 orang telah terbunuh dalam serangan Israel, mengemas kini angka korban yang dilaporkan sebelum ini.

"Jumlah kematian pada Sabtu meningkat kepada 25 orang dan 96 cedera berikutan serangan musuh Israel," menurut kenyataan itu semalam.

Angka berkenaan meningkat daripada 23 kematian yang dilaporkan lebih awal pada hari sama.

Sementara itu, media rasmi Lubnan melaporkan empat serangan udara Israel di selatan Beirut semalam.

"Pesawat musuh melancarkan dua serangan ke kawasan pinggir selatan, yang pertama menyasarkan kawasan Saint Therese dan yang kedua kawasan Burj al-Barajneh," menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).

Dua serangan susulan turut dilaporkan dengan salah satunya digambarkan sebagai "amat kuat".

Sejak 23 September, serangan udara Israel di Lubnan telah mengorbankan lebih 1,110 orang dan memaksa lebih sejuta penduduk melarikan diri. -AFP

SITI AISHAH MD ISA