JAKARTA, 27 Oktober- Mahkamah Indonesia pada Jumaat menjatuhkan hukuman mati kepada lapan pengedar dadah dari Iran.
Kesemua mereka didapati bersalah menyeludup lebih 300 kilogram (kg) kristal dadah jenis syabu ke negara Asia Tenggara itu.
Indonesia mempunyai undang-undang antidadah yang paling tegas di dunia namun telah menangguhkan pelaksanaan hukuman mati selama beberapa tahun.
Hakim di wilayah Banten di pulau Jawa, Uli Purnama memerintahkan supaya kesemua lapan lelaki itu dihukum mati oleh skuad penembak atas kesalahan menyeludup 319kg dadah haram itu.
"Setiap seorang telah dibuktikan secara yakin, bersalah melakukan perbuatan jenayah dengan sengaja sebagai pengedar dadah kelas 1."
Hakim bersetuju menjatuhkan hukuman mati kepada defendan," kata Uli.
Kesemua mereka didapati cuba menyeludup dadah melalui Lautan Hindi ke pulau Jawa, pulau paling ramai penduduk di Indonesia, sebelum ditangkap pada Februari di sebuah pelabuhan di Banten.- AFP