fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya 153 maut, 103 cedera rempuhan Halloween di Itaewon

(Bendera Korea Selatan berkibar separuh tiang di kompleks kerajaan di Seoul/AFP)

SEOUL, 30 Oktober- Sekurang-kurangnya 153 orang terbunuh manakala 103 lagi cedera dalam kejadian rempuhan di Itaewon, Seoul ketika sekumpulan besar pengunjung kebanyakannya berusia 20-an, berkumpul menyambut Halloween pada lewat Sabtu malam.

Angka kematian dijangka terus meningkat berikutan 37 mangsa mengalami kecederaan serius, lapor Agensi Berita Yonhap.

Sejumlah 95 mangsa yang maut berusia lingkungan 20-an diikuti 32 berumur 30-an, sembilan orang lingkungan umur 40-an dan empat lagi remaja, menurut seorang pegawai penguatkuasa.

Jumlah warga asing yang terbunuh mencecah 20 orang iaitu empat dari China dan Iran; tiga Rusia; masing-masing satu dari Amerika Syarikat, Perancis, Vietnam, Uzbekistan, Norway, Kazakhstan, Sri Lanka, Thailand dan Austria, menurut angka rasmi dikeluarkan pihak bomba.

Sementara itu, seramai 141 daripada 153 mangsa berjaya dikenal pasti dan keluarga mereka turut dimaklumkan.

Polis juga telah melancarkan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Rempuhan itu disifatkan insiden terburuk di Korea Selatan sejak tragedi feri Sewol karam pada 2014 yang mengorbankan 304 nyawa, kebanyakannya pelajar sekolah menengah.

Sambutan itu merupakan acara Halloween pertama di Seoul dalam tempoh tiga tahun selepas negara itu menarik balik kebanyakan sekatan COVID-19.- BERNAMA

(Mangsa dibawa dengan pengusung selepas rempuhan pada 30 Oktober 2022/AFP)

Berita berkaitan: 
Korea Selatan berkabung susulan tragedi pesta Halloween

Media Baharu