LONDON, 5 Ogos -Seorang hakim di United Kingdom pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun kerana menyeksa dan membunuh dua ekor anak kucing secara "sadistik".
Menurut pihak pendakwa, remaja itu juga menyatakan hasrat untuk membunuh manusia dan telah melakukan penyelidikan tentang cara untuk "terlepas daripada pembunuhan".
Remaja lelaki tersebut bersama seorang remaja perempuan, kedua-duanya berusia 17 tahun, mengaku bersalah atas kesalahan memiliki senjata tajam dan menyebabkan penderitaan yang tidak perlu terhadap haiwan.
Identiti mereka tidak boleh didedahkan atas sebab undang-undang.
Dua ekor anak kucing ditemui dalam keadaan terburai dengan tali terikat pada badan haiwan itu, di sebuah taman di barat laut London pada Mei. Bahagian daging dan bulu haiwan itu dilaporkan hangus, dipercayai dibakar.
Polis turut menemui pisau, obor api dan gunting di tempat kejadian.
Hakim Daerah Hina Rai menyifatkan pembunuhan itu sebagai paling mengerikan.
Tindakan remaja lelaki itu dianggap "dirancang secara menyeluruh" dan "jelas mempunyai niat awal", kata hakim sebelum menjatuhkan hukuman 12 bulan penahanan di pusat tahanan remaja.
Pendakwa Valerie Benjamin memberitahu mahkamah bahawa tindakan remaja itu menunjukkan "tahap perancangan" dalam "mencari haiwan tersebut, membawanya ke tempat awam dan membunuhnya dengan cara yang sangat sadistik."
Remaja tersebut turut memberitahu polis bahawa dia mengalami "depresi, keresahan, halusinasi dan pernah mencederakan diri sendiri", tambah pihak pendakwaan.
Menurut BBC, polis UK sedang menyiasat kemungkinan kaitan dengan rangkaian antarabangsa dalam talian yang berkongsi dan merakam penyeksaan atau pembunuhan kucing.
Badan amal kebajikan haiwan Britain, RSPCA, merekodkan sebanyak 1,726 laporan penderaan ke atas kucing secara sengaja pada tahun 2022 bersamaan kira-kira lima kes sehari. - AFP