fb fb fb fb fb

Trump umum akan ganti ketua statistik buruh baharu

Foto AFP

WASHINGTON, 5 Ogos -Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan melantik pengganti Pesuruhjaya Statistik Buruh baharu untuk mengetuai statistik buruh negara itu.

Tindakan itu dilakukan beberapa hari selepas beliau mengarahkan pemecatan ketua agensi itu Erika McEntarfer, berikutan laporan pekerjaan yang menunjukkan kelemahan dalam pasaran buruh negara.

Dalam satu kenyataan di platform Truth Social miliknya Trump sekali lagi mendakwa tanpa memberikan bukti bahawa laporan pekerjaan yang dikeluarkan Jumaat lalu "telah dimanipulasi".

Beliau menuduh McEntarfer memanipulasi data bagi meremehkan pencapaian pentadbirannya, dakwaan yang menerima kritikan hebat daripada ahli ekonomi dan sebuah persatuan profesional.

"Kami akan umumkan tokoh baharu untuk jawatan statistik buruh dalam tempoh tiga hingga empat hari akan datang,” kata Trump kepada wartawan pada Ahad.

Beliau menambah pada Isnin, "Saya akan pilih pengganti yang luar biasa."

Laporan terbaharu Biro Statistik Buruh menunjukkan pertumbuhan pekerjaan AS meleset daripada jangkaan pada bulan Julai, dengan semakan besar terhadap angka bulan-bulan sebelumnya yang kini menjadikannya tahap terendah sejak pandemik COVID-19.

Trump mengarahkan pemecatan McEntarfer hanya beberapa jam selepas laporan itu diterbitkan.

"Kami langsung tiada keyakinan. Maksud saya, angka itu sungguh tidak masuk akal," kata Trump pada Ahad. Beliau turut mendakwa McEntarfer menghasilkan angka “fenomenal” ketika era Presiden Joe Biden sebelum pilihan raya 2024. - AFP

TETITIA YUSOFF