BAITULMAQDIS, 4 Ogos - Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabat Perdana Menteri negara haram israel pada Ahad. Mereka menuntut pembebasan semua tebusan dalam satu perjanjian menyeluruh, penamatan perang di Gaza dan pelaksanaan pilihan raya baharu.
Penunjuk perasaan dilihat membawa sepanduk tulisan tangan bertulis “Bebaskan semua tebusan, tamatkan perang serta pilihan raya sekarang”, sambil melaungkan slogan “Memalukan” dan beberapa slogan lain.
Sebahagian daripada mereka turut menyekat laluan kenderaan dan berarak di hadapan bangunan kerajaan.
Ketua Parti The Democrats, Yair Golan, yang menyertai protes tersebut menyelar kerajaan tidak diiktiraf itu kerana didakwa mengabaikan kepentingan rakyat.
“Kerajaan ini bertentangan dengan kepentingan rakyat, mereka tidak berusaha membebaskan tebusan, menamatkan perang atau memulihkan keadaan. Semua ini sangat penting bagi kami,” tegasnya.
Turut hadir ialah ahli parlimen pembangkang, Naama Lazimi. Penunjuk perasaan juga dilihat membawa poster bergambar tebusan dan menuntut tindakan segera bagi mengakhiri krisis berpanjangan itu. - Reuters