BEIJING, 4 Ogos - Angkatan Laut China dan Rusia memulakan latihan ketenteraan bersama di perairan barat Lautan Pasifik pada Ahad, melibatkan latihan tembakan artileri dan peperangan anti-kapal selam.
Menurut Armada Pasifik Rusia, latihan yang dijadual berakhir pada Selasa ini merupakan sebahagian daripada latihan dua hala yang dirancang lebih awal.
Rakaman yang disiarkan penyiar rasmi China menunjukkan kapal perang kedua-dua negara belayar bersama, termasuk interaksi antara pegawai dan anggota tentera laut China dan Rusia.
Latihan ini berlangsung dua hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengarahkan dua kapal selam nuklear AS dikerahkan ke “rantau berkaitan”, sebagai reaksi terhadap kenyataan bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev. Bagaimanapun, latihan China-Rusia ini disahkan telah dijadualkan lebih awal.
Kedua-dua negara yang menjalin hubungan strategik tanpa had sejak 2022, terus mengadakan latihan ketenteraan secara berkala sebagai persediaan koordinasi ketenteraan dan mesej ketenteraan kepada pihak lawan. - Reuters