fb fb fb fb fb

Tesla tawar Elon Musk pakej pampasan baharu bernilai US$29 bilion

Foto fail/AFP

SAN JOSE, 5 Ogos -Tesla menawarkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Elon Musk, satu pakej pampasan bernilai kira-kira US$29 bilion, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam satu hantaran di platform X pada Isnin, Robyn Denholm dan Kathleen Wilson-Thompson – dua ahli jawatankuasa khas lembaga pengarah menyatakan bahawa Musk akan diberikan 96 juta saham, yang akan menjadi milik sepenuhnya selepas beliau berkhidmat selama dua tahun dalam peranan kepimpinan di syarikat itu.

Menurut kenyataan itu, Musk boleh memperoleh saham itu pada harga US$23.34 sesaham – jauh lebih rendah daripada nilai semasa yang melebihi US$300 sesaham.

Satu pakej imbuhan yang lebih besar dari 2018 dibatalkan dalam satu saman pemegang saham di Delaware pada 2024.

Hakim dalam kes itu memutuskan yang kelulusan pakej itu adalah tidak sah, dengan hujah Musk mempunyai pengaruh terlalu besar dalam proses rundingan bersama lembaga pengarah dan perkara itu disembunyikan daripada pengetahuan pemegang saham.

Kes itu bertukar menjadi luar biasa apabila pemegang saham Tesla meluluskan semula pakej 2018 dalam satu mesyuarat agung pada Jun 2024, kali ini dengan maklumat yang lebih lengkap hasil perbicaraan sensasi itu, namun, hakim tetap berpegang pada keputusannya untuk menolak pakej itu.

Tesla mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, malah mengumumkan jika pakej 2018 yang melibatkan lebih 300 juta saham itu diisytiharkan semula sebagai sah, peruntukan saham baharu kepada Musk akan dibatalkan.- BERNAMA

TETITIA YUSOFF