TUNIS, 5 Ogos -Satu flotila awam berskala besar dijangka belayar ke Gaza pada penghujung Ogos ini dalam usaha terbaharu untuk memecahkan sekatan Israel yang menyebabkan keseluruhan penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Bercakap dalam satu sidang media di Tunis yang dianjurkan oleh Koordinasi Tindakan Bersama untuk Palestin – sebuah platform penyelarasan masyarakat madani – ahli Flotila Global Sumud memaklumkan yang aktivis dari 44 negara mendaftar untuk menyertai usaha bersepadu ini.
"Musim panas ini, puluhan kapal, besar dan kecil, akan berlayar dari pelabuhan di seluruh dunia dan menuju ke Gaza dalam konvoi awam terbesar seumpamanya dalam sejarah," kata penganjur Haifa Mansouri seperti yang dilaporkan oleh Anadolu Ajansi.
Konvoi ini menghimpunkan empat inisiatif iaitu Flotila Sumud Maghreb, Pergerakan Global ke Gaza, Gabungan Freedom Flotilla dan Sumud Nusantara.
Matlamat bersama mereka, Mansouri berkata adalah untuk “memecahkan sekatan haram ke atas Gaza melalui laut, mewujudkan koridor kemanusiaan dan menentang genosid yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin.”
Konvoi pertama dijadualkan berlepas dari pelabuhan di Sepanyol pada 31 Ogos, diikuti oleh kumpulan kedua dari pelabuhan Tunisia pada 4 September.
Seif Abu Keshk, seorang lagi penganjur berkata lebih 6,000 aktivis mendaftar secara dalam talian untuk menyertai misi ini.
"Peserta akan menjalani latihan di lokasi pelepasan, dengan acara solidariti dan perkhemahan akan diadakan sepanjang laluan," katanya.
"Inilah percubaan semula untuk memberi tekanan kepada kerajaan dunia dengan menghantar puluhan kapal dan ribuan aktivis bagi memecahkan sekatan ke atas Gaza," kata Abu Keshk.
Pengumuman ini dibuat hanya beberapa hari selepas tentera laut Israel memintas kapal bantuan Handala pada 26 Julai lepas ketika ia hampir tiba ke pantai Gaza dan mengiringinya ke Pelabuhan Ashdod. Kapal itu dilaporkan sampai kira-kira 70 batu nautika dari Gaza, melepasi jarak yang dicapai oleh kapal Madleen, yang sebelum ini sampai sejauh 110 batu sebelum dihentikan, menurut Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Sekatan ke atas Gaza.
Tentera Israel terus menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata dan meneruskan serangan ganas ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, yang mengorbankan hampir 61,000 rakyat Palestin, hampir separuh daripadanya wanita dan kanak-kanak. Kempen ketenteraan itu memusnahkan wilayah itu dan mendorongnya ke ambang kebuluran. - BERNAMA