BRUSSELS, 5 Ogos – Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan penangguhan dua pakej tindakan balas terhadap tarif Amerika Syarikat (AS) selama enam bulan, susulan perjanjian yang dicapai antara kedua-dua pihak pada 27 Julai lalu.
Jurucakap Suruhanjaya Eropah berkata penangguhan itu bertujuan memberi ruang kepada pelaksanaan perjanjian tarif baharu, termasuk menggantung pelaksanaan tarif balas yang sepatutnya bermula Khamis ini.
Tindakan balas yang digantung merangkumi tarif terhadap eksport keluli dan aluminium EU ke AS serta tindak balas terhadap tarif yang diperkenalkan semasa pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Trump dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, sebelum ini mengadakan pertemuan tidak rasmi di Scotland dan bersetuju mengenai perjanjian perdagangan baharu, termasuk tarif 15 peratus terhadap eksport Eropah ke AS, pelaburan EU sebanyak AS$600 bilion di AS, serta pembelian tenaga AS oleh EU bernilai AS$750 bilion.
Bagaimanapun, bekas Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell menyifatkan perjanjian itu sebagai kelemahan EU dari segi strategik dan sukar untuk dilaksanakan.
Terdahulu, pada 24 Julai, negara anggota EU meluluskan tindakan balas bernilai €93 bilion, termasuk dua senarai produk AS seperti kacang soya, motosikal, pesawat dan kenderaan.
Sekiranya rundingan dengan AS gagal, tindakan balas tersebut dijadual dikuatkuasakan pada 7 Ogos, menurut jurucakap Suruhanjaya, Olof Gill. -REUTERS