fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan Gifford merebak, penduduk diarah berpindah

Foto REUTERS

SANTA MARIA, 5 Ogos – Lebih 1,000 anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan yang kini merebak lebih 49,000 ekar di kawasan Hutan Negara Los Padres, berikutan cuaca kering dan berangin.

Kebakaran tersebut dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran Santa Maria, dan menjejaskan dua daerah utama iaitu Santa Barbara dan San Luis Obispo.

Jabatan Bomba Daerah Santa Barbara memaklumkan, kira-kira 360 kediaman kini berada dalam keadaan berisiko, dengan arahan pemindahan dikeluarkan bagi beberapa kawasan di selatan Lebuhraya 166.

Rakaman pada Isnin menunjukkan pasukan bomba giat menjalankan kerja-kerja kawalan kebakaran di lokasi terbabit, menggunakan peralatan seperti penyodok dan cangkul, dengan asap tebal kelihatan membumbung dari kawasan berdekatan.

Menurut pihak berkuasa, operasi pemadaman dijalankan secara menyeluruh dari darat dan udara, bagi menghalang api daripada terus merebak ke kawasan berpenduduk.

Sementara itu, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran bahawa cuaca berangin yang dijangka berterusan sepanjang minggu ini akan meningkatkan risiko kebakaran di seluruh kawasan California Selatan.

Kebakaran hutan berskala besar itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pihak berkuasa tempatan, yang sedang berdepan musim panas yang ekstrem di kawasan Pantai Barat Amerika Syarikat. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD