fb fb fb fb fb

Mahkamah perintah tahanan rumah terhadap Bolsonaro

Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsanaro/Foto REUTERS

BRASILIA, 5 Ogos – Mahkamah Agung Brazil pada Isnin mengeluarkan perintah tahanan rumah terhadap bekas Presiden Jair Bolsonaro, yang sedang dibicarakan atas dakwaan merancang rampasan kuasa selepas tewas pada pilihan raya 2022.

Hakim Alexandre de Moraes dalam keputusannya berkata, Bolsonaro telah melanggar beberapa perintah sekatan mahkamah yang dikenakan terhadapnya bulan lalu.

Selain dikenakan tahanan rumah, Bolsonaro turut dilarang menerima pelawat kecuali peguam dan individu yang mendapat kebenaran mahkamah.

Beliau juga dilarang menggunakan telefon bimbit, sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga.

Langkah tegas itu diambil susulan dakwaan bahawa Bolsonaro cuba mendapatkan campur tangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang baru-baru ini mengenakan tarif import lebih tinggi terhadap barangan Brazil sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai "pemburuan politik" terhadap Bolsonaro.

Bolsonaro berdepan tuduhan berkonspirasi bersama puluhan sekutunya untuk membatalkan keputusan pilihan raya Presiden Brazil 2022 yang dimenangi oleh Luiz Inácio Lula da Silva.

Jurucakap media Bolsonaro turut mengesahkan bahawa bekas presiden itu kini dikenakan perintah tahanan rumah dan sekatan penggunaan telefon. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD