OTTAWA, 5 Ogos – Kanada pada Isnin menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui udara, dalam usaha membantu penduduk yang terjejas teruk akibat serangan tentera Israel sejak hampir 22 bulan lalu.
Menurut kenyataan kerajaan Kanada, pesawat CC-130J Hercules milik Angkatan Tentera Kanada telah digunakan untuk melaksanakan penghantaran bantuan seberat 9.8 tan metrik ke Gaza menerusi sokongan Global Affairs Canada.
Ini merupakan kali pertama tentera Kanada menjalankan misi bantuan udara ke Gaza menggunakan pesawat sendiri, menurut laporan Stesen penyiaran Kanada.
Tentera Israel memaklumkan bahawa enam negara termasuk Kanada, Jordan, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Jerman dan Belgium telah menjatuhkan 120 pek bantuan makanan untuk penduduk Gaza.
Dalam kenyataan berasingan, Kanada sekali lagi menuduh Israel melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa apabila menyekat akses bantuan kemanusiaan ke wilayah terbabit.
“Halangan terhadap bantuan ini adalah pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mesti dihentikan serta-merta,” kata kerajaan Kanada.
Israel sebelum ini memotong bekalan makanan ke Gaza pada Mac lalu, dan hanya menarik balik sekatan itu pada Mei namun dengan beberapa syarat ketat yang perlu untuk mengelak bantuan diseleweng kumpulan militan.
Kedutaan Israel di Ottawa tidak memberikan sebarang komen segera, namun menafikan tuduhan Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan menyalahkan Hamas atas penderitaan yang berlaku.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut mendakwa Hamas mencuri makanan dan menjualnya kepada penduduk Gaza.
Namun, laporan Reuters baru-baru ini mendedahkan analisis dalaman kerajaan AS mendapati tiada bukti kukuh berlaku pencurian sistematik ke atas bantuan kemanusiaan yang dibiayai Amerika Syarikat.
Israel dalam pada itu mendakwa telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan lebih banyak bantuan sampai ke penduduk, termasuk menghentikan serangan di kawasan tertentu buat sementara waktu, membenarkan laluan selamat untuk konvoi bantuan, serta membenarkan penghantaran udara.
Konflik yang tercetus pada Oktober 2023 sehingga kini meragut lebih 60,000 nyawa menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Konflik itu turut menyebabkan seluruh penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, mencetuskan krisis kebuluran, dan membawa kepada pertuduhan jenayah perang serta genosid terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Israel menafikan semua dakwaan tersebut. - REUTERS