fb fb fb fb fb

Keganasan kartel: 32 mangsa dibunuh di Guanajuato

Foto REUTERS

IRAPUATO, 5 Ogos – Serpihan mayat yang ditemui minggu lalu di sebuah rumah terbiar di negeri Guanajuato disahkan milik sekurang-kurangnya 32 individu, menurut Pejabat Pendakwa Negeri semalam.

Setakat ini, seramai 15 mangsa telah dikenal pasti melalui proses forensik walaupun pihak berkuasa mengakui keadaan mayat yang “dikerat-kerat dan menyukarkan proses pengecaman.

Penemuan itu dibuat ketika operasi mencari orang hilang di bandar Irapuato, sebuah kawasan yang sering dikaitkan dengan keganasan kartel dadah.

Menurut laporan media tempatan, anggota penyiasat menemui bahagian-bahagian tubuh dalam beg plastik.

Ahli keluarga mangsa hilang yang menyertai kumpulan pencari orang hilang dikenali sebagai 'Hasta encontrarte' hadir ke lokasi kejadian semalam, berharap ada petunjuk baharu.

“Kami harap dapat menemui orang tersayang,” kata seorang wanita yang enggan dikenali atas faktor keselamatan.

“Sudah bertahun-tahun kami menunggu, dan setiap kali kubur besar ditemui, kami mahu berada di sana", ujarnya.

Guanajuato, yang terletak di tengah Mexico, merupakan hab industri penting dan lokasi pelancongan terkenal, namun juga mencatat jumlah pembunuhan tertinggi di negara itu akibat perang antara kumpulan jenayah terancang.

Menurut statistik rasmi, Guanajuato merekodkan lebih 3,100 kes bunuh tahun lalu bersamaan 10.5 peratus daripada keseluruhan kes pembunuhan di Mexico.

Negeri itu juga mempunyai sekitar 3,600 kes orang hilang, daripada lebih 120,000 kes di seluruh negara.

Keganasan di negeri itu sering dikaitkan dengan perebutan wilayah antara kartel Santa Rosa de Lima dan Jalisco New Generation iaitu salah satu sindiket jenayah paling berkuasa di Mexico.

Irapuato secara khusus pernah menyaksikan beberapa tragedi berdarah. Pada Jun lalu, 11 terbunuh dan 20 lagi cedera dalam serangan bersenjata ketika sebuah majlis diadakan di kejiranan tempatan.

Sebulan sebelum itu, 17 mayat ditemui di sebuah rumah terbiar, juga di bandar sama. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD