OHRID, 5 Ogos β Aktivis alam sekitar memberi amaran bahawa kelemahan pengurusan telah menyebabkan kemerosotan kawasan sekitar Tasik Ohrid, tapak Warisan Dunia UNESCO yang merentasi sempadan Macedonia Utara dan Albania.
Tasik yang berusia 3.5 juta tahun itu dianggap antara yang tertua di Eropah, dan menjadi habitat kepada kira-kira 200 spesies unik, termasuk pelbagai spesies ikan trout yang jarang ditemui.
Ia juga menjadi tarikan pelancong utama serta sumber pendapatan penting bagi kedua-dua negara.
UNESCO mengiktiraf bahagian Macedonia Utara sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1979, manakala bahagian di Albania ditambah ke dalam senarai itu pada Mei 2019.
Namun begitu, laporan UNESCO 2024 mengesan pelbagai ancaman serius terhadap nilai sejagat luar biasa kawasan itu, antaranya pembangunan hartanah yang tidak terancang dan lonjakan pelancongan di kawasan pesisir.
Aktivis dari kumpulan Zelen Human Grad, Dragana Velkovska berkata tiga misi UNESCO telah dihantar sejak tapak itu diiktiraf, menunjukkan kebimbangan serius terhadap kemerosotan yang berlaku.
βIni membuktikan bahawa tindakan dan kegagalan kerajaan sepanjang tempoh itu secara langsung menyumbang kepada kemerosotan nilai luar biasa kawasan tersebut,β katanya.
UNESCO juga menegur bahawa langkah-langkah yang sepatutnya diambil untuk menangani ancaman sedia ada dan mencegah ancaman baharu masih belum dilaksanakan oleh kedua-dua negara.
Datuk Bandar Ohrid, Kiril Pecakov, berkata kerjasama rapat antara Macedonia Utara dan Albania amat penting untuk mengekalkan status UNESCO kawasan berkenaan.
Menurut data rasmi, kawasan sekitar Tasik Ohrid termasuk bandar Ohrid dan Struga di Macedonia Utara, serta Pogradec di Albania kini didiami kira-kira 170,000 penduduk, meningkat 56 peratus dalam tempoh 50 tahun lalu.
Kemudahan sistem pembetungan yang dibina sejak tahun 1980-an kini tidak lagi mampu menampung kehadiran pelancong yang meningkat saban tahun, kerana kawasan tasik itu kini menjadi pilihan popular sebagai destinasi bajet berbanding percutian laut. - REUTERS