fb fb fb fb fb

Bekas Presiden Colombia gagal dapatkan pembebasan sementara

Bekas Presiden Colombia, Alvaro Uribe/Foto AFP

BOGOTA, 5 Ogos – Mahkamah Colombia pada Isnin menolak permintaan bekas Presiden Alvaro Uribe untuk dibebaskan sementara.

Uribe, 73, yang dikenakan hukuman tahanan rumah selama 12 tahun, menjadi bekas pemimpin pertama negara itu yang disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Mahkamah Tinggi Bogota dalam keputusannya berkata permohonan pembebasan sementara itu “tidak memenuhi piawaian kecemasan” yang ditetapkan undang-undang Colombia.

Uribe disabitkan bersalah kerana cuba mempengaruhi saksi dalam satu siasatan berasingan mengenai kaitannya dengan kumpulan separa tentera sayap kanan, yang bertanggungjawab terhadap kekejaman ketika menentang pemberontak. Beliau juga didapati menghalang proses keadilan.

Hakim mengarahkan beliau menjalani tahanan rumah di kediamannya di Rionegro, berhampiran bandar Medellin, atas alasan berisiko untuk melarikan diri.

Peguamnya sebelum ini mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung Colombia, menegaskan bahawa Uribe tidak berniat untuk meninggalkan negara asalnya.

Bekas pemimpin berhaluan kanan itu terkenal dengan pendekatan tegas terhadap dadah dan pemberontakan bersenjata ketika mentadbir negara dari 2002 hingga 2010.

Beliau juga merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat dan kekal berpengaruh dalam kalangan konservatif.

Uribe mendakwa sabitan ke atasnya adalah satu pemburuan politik oleh pentadbiran Presiden Gustavo Petro yang berhaluan kiri.

Beliau mempunyai masa sehingga 13 Ogos untuk mengemukakan rayuan rasmi, manakala mahkamah rayuan mempunyai tempoh sehingga 16 Oktober untuk membuat keputusan. Sekiranya tiada keputusan dibuat menjelang tarikh itu, kes berkenaan dianggap ditutup.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio mengkritik keputusan terhadap Uribe, menyifatkannya sebagai “penyalahgunaan badan kehakiman oleh hakim radikal.” - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD