fb fb fb fb fb

Lebih 3,200 pekerja Boeing mogok selepas tolak kontrak

Foto REUTERS

ST. LOUIS, 5 Ogos – Lebih 3,200 pekerja Boeing yang memasang jet pejuang di St. Louis dan Illinois melancarkan mogok semalam selepas menolak tawaran kontrak kedua yang dikemukakan syarikat penerbangan gergasi itu.

Tindakan itu susulan penolakan terhadap kontrak empat tahun yang mencadangkan purata kenaikan gaji sebanyak 40 peratus, termasuk kenaikan asas 20 peratus dan bonus pengesahan AS$5,000 (RM23,500). Kontrak itu turut menawarkan lebih banyak cuti tahunan, cuti sakit, serta kenaikan berkala.

Naib Presiden dan Pengurus Besar Boeing St. Louis, Dan Gillian menyatakan kekecewaan terhadap penolakan itu yang disifatkannya sebagai tawaran lumayan.

Boeing Defense dalam kenyataan menyatakan kesediaan menghadapi gangguan kerja dan akan melaksanakan pelan kontingensi menggunakan tenaga kerja bukan kesatuan.

Ketua District 837, Tom Boelling menegaskan bahawa ahlinya berhak mendapat kontrak yang mencerminkan kemahiran, dedikasi dan kepentingan mereka dalam sistem pertahanan negara.

CEO Boeing, Kelly Ortberg pula tidak melihat mogok ini sebagai ancaman besar dan berkata syarikat mampu menguruskan situasi, seperti yang dilakukan ketika mogok tujuh minggu tahun lalu oleh District 751 yang melibatkan 33,000 pekerja pesawat komersial di Barat Laut Amerika Syarikat.

Pekerja District 837 bertanggungjawab memasang jet F-15, F/A-18, pesawat latihan T-7 dan dron pengisian bahan api MQ-25 untuk Tentera Laut AS.

Boeing turut memperluas fasiliti pengeluaran di St. Louis selepas memenangi kontrak menghasilkan jet pejuang baharu F-47A untuk Tentera Udara AS tahun ini.

Sebagai perbandingan, mogok District 751 sebelum ini berakhir dengan persetujuan kontrak empat tahun yang menawarkan kenaikan gaji sebanyak 38 peratus. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD