fb fb fb fb fb

UNICEF: Purata 28 kanak-kanak terbunuh setiap hari di Gaza

Foto REUTERS

NEW YORK, 5 Ogos – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan seramai purata 28 kanak-kanak terbunuh setiap hari di Gaza akibat serangan berterusan Israel dan sekatan bantuan kemanusiaan di wilayah bergolak itu.

Dalam satu kenyataan di X pada Isnin, UNICEF menyifatkan keadaan tersebut sebagai tragedi yang menyayat hati.

“Mati akibat pengeboman. Mati akibat kekurangan zat dan kebuluran. Mati kerana kekurangan bantuan dan perkhidmatan penting.

"Di Gaza, purata 28 kanak-kanak sehari. Satu bilangan yang mampu memenuhi sebuah bilik darjah telah terbunuh,” kata agensi itu.

UNICEF turut menggesa gencatan senjata segera sambil menegaskan bahawa kanak-kanak di Gaza sangat memerlukan makanan, air, ubat-ubatan dan perlindungan.

“Kanak-kanak Gaza perlukan makanan, air, ubat-ubatan dan perlindungan. Tapi lebih penting, mereka perlukan gencatan senjata, SEKARANG,” tegas agensi itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Isnin, sejak konflik antara Hamas dan Israel meletus pada 7 Oktober 2023, seramai 60,933 rakyat Palestin terbunuh manakala 150,027 lagi cedera.

Hampir separuh daripada jumlah kematian itu melibatkan kanak-kanak dan wanita, menunjukkan impak besar konflik ke atas golongan tersebut di wilayah berkenaan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD