RAFAH, 5 Ogos – Penduduk Palestin di Rafah yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan Israel merayu agar bantuan kemanusiaan disalurkan segera, lebih adil dan mencukupi.
Ia susulan bantuan asas, tersebut terpaksa diperoleh dengan berebut, malah ada yang terpaksa mempertaruhkan nyawa.
Youssef Abu Mor, salah seorang mangsa dari Rafah, meluahkan rasa kecewanya terhadap jumlah bantuan yang amat terhad.
"Mereka beri bantuan sedikit demi sedikit. Ya, lori bantuan ada masuk, tetapi itu langsung tidak mencukupi. Orang ramai kelaparan.
"Saya sendiri sudah lebih dua minggu datang ke sini untuk mendapatkan bantuan asas. Saya tak pernah dapat satu beg bantuan pun… Apa gunanya kalau lori lalu depan kaki saya, tapi saya tetap pulang dengan tangan kosong? Saya rayu agar bantuan ini benar-benar dapat disalurkan dengan saksama,” katanya.
Youssef terpaksa berjalan sejauh tujuh kilometer untuk mendapatkan sekampit tepung untuk anak-anaknya, namun tetap pulang hampa.
"Setiap dua jam, hanya dua lori masuk. Dua lori ini tak akan cukup untuk orang seramai ini. Kami perlukan agensi antarabangsa yang agih bantuan secara teratur. Ini bukan bantuan lagi, ini penghinaan dalam penderitaan," katanya kesal.
Sementara itu Mohammed Shaheen yang berjaya mendapatkan bantuan turut menceritakan bagaimana dia terpaksa meredah bahaya demi meneruskan hidup.
"Kami terpaksa menempuh maut, di bawah peluru, di bawah kereta kebal – hanya untuk terus hidup," ujarnya.
Sementara itu, Abdul Rahman Abu Odeh turut berkongsi kepedihan yang dihadapi oleh rakyat Palestin ketika ini.
"Kami lapar, kami bagaikan sudah mati. Kami berjalan dalam kematian. Kami datang ke sini kerana mahu hidup.
"Kami hanya mahu bantuan melalui agensi seperti UNRWA dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)... Ini bukan caranya, kami mahu makan seperti manusia," katanya.
Talaat Najjar, 60 tahun, turut menyuarakan kekhuatiran terhadap warga emas dan individu yang tidak mampu hadir ke pusat agihan bantuan.
"Kelaparan sangat parah ketika ini, tetapi ramai yang tak mampu datang ke sini untuk mendapatkan bantuan. Ada yang cedera, ada juga yang syahid. Saya datang hanya untuk mengambil apa sahaja yang boleh dimakan," katanya dengan nada lemah.
Keadaan di Rafah kini semakin kritikal dengan kekurangan makanan dan keperluan asas. Penduduk berharap agar pihak antarabangsa segera campur tangan dan memastikan bantuan disalurkan secara tersusun, adil dan selamat untuk semua.- REUTERS