RIO DE JANEIRO, 2 Julai- Sekurang-kurangnya 40 penumpang cedera dalam insiden gelora udara yang kuat semasa penerbangan Air Europa dari Sepanyol ke Uruguay semalam.
Boeing 787-9 Dreamliner terpaksa membuat pendaratan kecemasan di sebuah lapangan terbang di utara Brazil.
Penerbangan yang dalam perjalanan dari Madrid ke Montevideo itu membawa 325 penumpang.
"40 penumpang dibawa ke hospital dan klinik di Natal untuk rawatan melecet dan trauma kecil," kata Sekretariat Kesihatan Negara bahagian Rio Grande do Norte, Brazil kepada AFP.
Sementara 11 lagi masih dirawat di Hospital Monsenhor Walfredo Gurgel. Antara yang cedera adalah warga Sepanyol, Argentina, Uruguay, Israel, Bolivia dan Jerman.
Salah seorang penumpang, Mariela Jodal berkongsi menerusi platform X, bahawa beberapa orang cedera dalam pergolakan yang sangat kuat, tetapi dia terselamat - "terima kasih kepada tali pinggang keledar."
Imej disiarkan Jodal menunjukkan panel siling pesawat pecah dengan paip dan wayar kelihatan, manakala satu gambar memaparkan beberapa buah ambulans sedang menunggu berhampiran pesawat.
Pada Mei lepas, seorang maut dan lebih 30 lagi cedera dalam insiden gelora udara teruk semasa penerbangan Singapore Airlines dari London ke Singapura. -AFP