BENGALURU, 30 November- Sekolah-sekolah dan kolej di selatan India ditutup serta 471 penduduk berpindah ke pusat perlindungan berikutan jangkaan ribut yang dijangka melanda wilayah itu pada Sabtu, lapor akhbar Economic Times.
Menurut Biro Cuaca India, Siklon Fengal membawa angin berkelajuan 70-80 kilometer sejam pada sebelah petang.
Ramalan itu turut memaklumkan akan berlaku ombak setinggi satu meter selain menasihati para nelayan supaya tidak turun ke laut. Ia juga dijangka menimbulkan risiko banjir ke kawasan pantai rendah.
Siklon Fengal yang melalui Sri Lanka telah meragut sekurang-kurangnya 12 individu termasuk enam kanak-kanak ketika bergerak ke India.
Para saintis memberi amaran bahawa Siklon Fengal akan menjadi lebih kuat akibat perubahan iklim didorong pembakaran bahan api fosil.
Sementara itu permukaan lautan yang panas juga menyebabkan pelepasan lebih banyak wap air sekali gus mendorong kekuatan ribut.
Keadaan itu membolehkan ia menampung lebih banyak air serta membawa hujan lebat.- AFP