KHARKIV, 4 November- Sekurang-kurangnya lima lagi individu cedera berikutan serangan yang dilancarkan tentera Rusia di bandar kedua terbesar di Ukraine, Kharkiv dan wilayah sekitarnya kata Gabenor Wilayah Kharkiv Oleh Syniehubov.
Syniehubov menerusi mesej di Telegram berkata, bom berpandu Rusia mengenai sebuah pasar raya di daerah Shevchenkivskyi Kharkiv, berhampiran pusat bandar. Empat individu cedera akibat serangan berkenaan.
Datuk Bandar Ihor Terekhov berkata pasar raya itu terletak bersebelahan dengan kediaman penduduk. Serangan sebelum ini telah melanda kawasan hutan di bandar itu, katanya lagi.
Syniehubov, juga memaklumkan bahawa tentera Rusia telah merosakkan bangunan pangsapuri lima tingkat di Kivsharivka, sebuah bandar kecil berhampiran Kupiansk, timur Kharkiv.
Beliau berkata seorang cedera dan beberapa penduduk mungkin terperangkap dalam runtuhan akibat bangunan yang musnah. Seorang wanita telah pun diselamatkan, tetapi usaha menyelamat terhalang berikutan serangan dari Rusia.- REUTERS