fb fb fb fb fb

Roket angkasa lepas buatan syarikat swasta Jepun meletup sejurus dilancarkan

FOTO AFP

TOKYO, 13 Mac- Sebuah roket buatan syarikat swasta Jepun meletup sejurus selepas dilancarkan hari ini, dengan stesen penyiar awam NHK menunjukkan rakaman pesawat itu terbakar.

Syarikat pemula, Space One, yang berpangkalan di Tokyo telah menyasarkan untuk menjadi firma swasta Jepun pertama berjaya menempatkan satelit ke orbit.

Roket Kairos sepanjang 18 meter itu, yang membawa satelit ujian kecil milik kerajaan, meletup sejurus berlepas dari landasan pelancaran syarikat itu sendiri, yang terletak di wilayah Wakayama di barat Jepun

Namun, beberapa saat selepas dilancarkan, roket bahan api pepejal itu meletup dan membentuk bebola api, menyebabkan kepulan asap tebal memenuhi kawasan pelantar pelancaran.

Serpihan yang terbakar dilihat jatuh ke lereng gunung di sekeliling kawasan sekitarnya, menyebabkan sistem pemadam api diaktifkan dan mula menyembur percikan air.

"Pelancaran roket Kairos pertama sudah dilaksanakan, tetapi kami mengambil langkah membatalkan pelancaran itu," kata Space One dalam satu kenyataan, sambil menjelaskan punca letupan sedang dalam siasatan.

Kegagalan itu memberi tamparan kepada usaha Jepun untuk memasuki pasaran pelancaran satelit yang berpotensi menjana keuntungan.

Sementara itu, kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada sebagai langkah sementara spontan, ia boleh melancarkan satelit kecil sekiranya satelit pengintip sedia ada tidak berfungsi.

Mengikut perancangan, roket Kairos itu diharap dapat meletakkan satelit ke orbit selepas kira-kira 51 minit ia dilancarkan.

Syarikat Space One ditubuhkan pada 2018 oleh sekumpulan perniagaan utama teknologi Jepun, termasuk Canon Electronics, IHI Aerospace, firma pembinaan Shimizu dan Bank Pembangunan Jepun milik kerajaan.

Julai tahun lalu, sebuah lagi enjin roket Jepun meletup ketika dalam ujian, sekitar 50 saat selepas dilancarkan.

Bahan api pepejal Epsilon S ialah versi roket Epsilon dipertingkatkan yang gagal dilancarkan pada Oktober sebelumnya.

Ia membuatkan platform ujiannya di wilayah utara Akita terbakar dan kepulan asap kelabu menjulang tinggi ke langit.

Kegagalan itu berlaku selepas Tokyo pada Mac 2023 menyaksikan percubaan kedua melancarkan roket H3 generasi akan datang berakhir kegagalan selepas ia dilancarkan.

Bagaimanapun, bulan lalu agensi angkasa lepas Jepun berjaya melancarkan roket perdana baharunya, H3, selepas penangguhan selama bertahun-tahun dan dua percubaan yang gagal sebelum ini.

H3 dilancarkan dari Pusat Angkasa Tanegashima di barat daya Jepun, mencetuskan sorakan dan tepukan di pusat kawalan JAXA.

Ia dikatakan sebagai saingan kepada Falcon 9 SpaceX dan suatu hari nanti boleh menghantar kargo ke atmosfera bulan.

Ia menyusuli kejayaan Jepun mendarat di bulan pada Januari dengan kenderaan tanpa pemandu walaupun pada sudut senget, menjadikannya negara kelima yang berjaya mendarat di bulan. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI