fb fb fb fb fb

Ratu Norway keluar hospital selepas alami masalah pernafasan

Ratu Norway, Ratu Sonja / AFP

OSLO, 22 April- Ratu Norway, Ratu Sonja telah dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Oslo pada Selasa selepas dimasukkan ke wad malam sebelumnya akibat masalah pernafasan, menurut kenyataan Istana Diraja Norway.

“Keadaan Baginda telah kembali stabil selepas pemeriksaan dilakukan,” kata pihak istana sambil memaklumkan Ratu Sonja, 87, akan berehat dan diberikan cuti sakit sepanjang minggu ini.

Baginda sebelum ini diterbangkan dengan helikopter perubatan dari chalet diraja di Sikkilsdalen, lokasi tradisi percutian musim Easter Ratu dan Raja Harald, 88, yang juga pemerintah tertua di Eropah.

Menurut agensi berita NTB, keluarga diraja Norway telah menghabiskan cuti Easter di chalet tersebut sejak tahun 1924.

Ini merupakan kali kedua dalam tahun ini Ratu Sonja dimasukkan ke hospital. Pada Januari lalu, Baginda dirawat akibat degupan jantung tidak sekata (fibrilasi atrium) dan kemudiannya menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung (pacemaker) yang berjaya.

Raja Harald juga menjalani prosedur yang sama pada Mac 2024 selepas dijangkiti kuman ketika bercuti secara peribadi di Malaysia.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE