fb fb fb fb fb

Qatar beri taklimat kepada utusan Trump mengenai rundingan gencatan senjata

Foto AFP

DOHA, 11 Januari- Pengantara Qatar memaklumkan telah memberi taklimat kepada Utusan Asia Barat yang dilantik Donald Trump, Steve Witkoff mengenai rundingan gencatan senjata di Gaza yang sedang diuruskan bersama-sama Mesir dan Amerika Syarikat.

Kementerian luar Qatar menerusi kenyataan berkata pertemuan Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani dengan Steve Witkoff di Doha membincangkan perkembangan terkini di rantau itu, terutamanya usaha untuk mencapai gencatan senjata di Gaza yang masih berterusan.

Pada awal bulan ini, pengantara memulakan usaha baharu untuk menamatkan perang Gaza dan memastikan pembebasan berpuluh-puluh tahanan Israel yang masih ditawan di wilayah Palestin.

Sumber diplomatik menunjukkan tekanan antarabangsa yang meningkat terhadap Hamas dan Israel untuk mencapai kesepakatan dalam rundingan.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengatakan telah ada kemajuan dalam perbincangan itu.

Sementara itu, Trump memberi amaran kepada Hamas bahawa kumpulan itu akan menghadapi 'neraka' jika tidak membebaskan tahanan yang masih ada, sebelum pelantikannya pada 20 Januari.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis percaya bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu lebih suka perjanjian itu dimuktamadkan bawah Trump, berbanding pentabiran Joe Biden.

"Saya tidak dapat melihat kemajuan yang signifikan sehingga Presiden Trump memegang jawatan," kata Penyelidik Kanan di Institut Misgav untuk Keselamatan Nasional dan Strategi Zionis Israel, Kobi Michael.- AFP

ROSLINA BINTI DIN