CONAKRY, 1 Disember- Puluhan orang terbunuh dalam pergaduhan antara dua kelab peminat bola sepak dalam satu perlawanan yang berlangsung di N'Zerekore, bandar kedua terbesar di Guinea.
Seorang doktor yang enggan dikenali memberitahu AFP terdapat kira-kira 100 orang meninggal dunia serta mayat memenuhi hospital. Beliau turut menggambarkan berlakunya keganasan secara besar-besaran.
"Mayat bersusun di ruangan hospital. Lain-lain terbaring di lantai dan lorong. Bilik mayat penuh," kata doktor itu kepada AFP.
Video yang tular di media sosial menunjukkan insiden kekecohan di luar perlawanan dan banyak mayat bergelimpangan.
Seorang saksi memberitahu kepada AFP, kekacauan itu berpunca daripada pertikaian mengenai satu perlawanan bola sepak. Para penyokong kemudian menceroboh kawasan padang. Saksi itu enggan dikenali atas faktor keselamatan.
Media tempatan melaporkan bahawa perlawanan itu adalah sebahagian daripada kejohanan yang dianjurkan untuk menghormati pemimpin junta Guinea, Mamadi Doumbouya, yang merampas kuasa selepas rampasan kuasa pada September 2021 dan melantik dirinya sebagai presiden.
Kejohanan seperti itu biasa di negara Afrika Barat sejak kebelakangan ini, ketika Doumbouya mempertimbangkan kemungkinan bertanding dalam pilihan raya presiden.
N'Zerekore, yang terletak di tenggara Guinea, kira-kira 570 kilometer dari ibu negara, Conakry, mempunyai populasi kira-kira 200,000 orang.-AFP