fb fb fb fb fb

Protes mahasiswa pro-Palestin meluas di Eropah

Foto AFP

AMSTERDAM, 8 Mei- Protes mahasiswa menuntut pihak universiti memutuskan hubungan dengan Israel, mula meluas di Eropah.

Puluhan insiden membabitkan kumpulan pelajar dengan pihak berkuasa tercetus di Belanda, Jerman, Perancis, Switzerland dan Austria.

Ratusan penunjuk perasaan meneruskan demonstrasi di sekitar kampus Universiti Amsterdam menuntut menamatkan perkongsian dengan institusi Israel kerana serangan Israel terhadap Gaza.

Polis dalam kenyataan berkata, seramai 169 penuntut telah ditahan di Belanda kerana melancarkan demostrasi di kawasan awam. Bagaimanapun, kesemuanya telah dibebaskan, selain dua yang masih dalam tahanan kerana disyaki melakukan kesalahan kekacauan awam.

Dalam pada itu, di Leipzig, Jerman pula, 60 pelajar mengibarkan sepanduk solidariti kepada warga Palestin ketika berada dalam dewan kuliah.

Menurut pihak universiti, penunjuk perasaan bertindak menghalang pintu dewan kuliah dari dalam dan mendirikan khemah di halaman.

Pihak universiti turut menghubungi polis dan memfailkan aduan jenayah. Prosiding jenayah telah dimulakan terhadap 13 orang yang berada di dewan kuliah kerana disyaki menceroboh. Namun, tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Sementara itu, kira-kira 20 pelajar di Universiti Sains Po di Paris, enggan mengambil peperiksaan, manakala 13 lagi melancarkan mogok lapar.

Di Switzerland, protes yang bermula sejak semalam telah merebak ke tiga universiti di Lausanne, Geneva dan Zurich.

Manakala di Austria, puluhan penunjuk perasaan mendirikan khemah di kampus Universiti Vienna dan melancarkan protes terhadap keganasan Israel di Gaza.-AFP

ROSLINA BINTI DIN