INDIA, 9 September - Beribu-ribu masyarakat India mengadakan protes di lebih 130 bandar di 25 negara pada Ahad.
Penganjur memberitahu ia diadakan bagi menuntut keadilan selepas kes rogol dan membunuh seorang doktor pelatih bulan lalu di sebuah hospital di bandar Kolkata.
Protes bermula dalam kumpulan besar dan kecil di seluruh Jepun, Australia, Taiwan dan Singapura sebelum berlarutan ke bandar-bandar di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Seorang suspek telah ditahan bersama-sama bekas pengetua R.G. Kolej Perubatan Kar tempat mangsa belajar.
"Berita jenayah kejam yang dilakukan ke atas seorang doktor pelatih muda semasa bertugas membuatkan kami berasa marah dan mengejutkan setiap daripada kami, sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan." kata penganjur protes global Dipti Jain.
Dilaporkan doktor yang dibunuh itu ditemukan maut di dewan seminar hospital pengajar itu.
Mangsa ke dewan tersebut untuk berehat selepas syif kerja yang panjang memandangkan kekurangan asrama atau bilik rehat.
Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di beberapa bandar di San Francisco Bay Area, menuntut akauntabiliti terhadap jenayah dan keselamatan wanita India.
Di Dublin, California, kira-kira 56 km di timur San Francisco, penunjuk perasaan membentuk rantai manusia, menjerit dengan slogan dan melambai sepanduk bertulis 'Kami menuntut keadilan' dan berteriak mahukan keadilan untuk mangsa.
Orang ramai pelbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak kecil dan warga emas, mendeklamasikan puisi dan mengambil bahagian dalam teater jalanan. - REUTERS