fb fb fb fb fb

Presiden Korea Selatan akan beri keterangan semasa perbicaraan- Peguam

Foto AFP

SEOUL, 5 Januari- Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol merancang untuk memberi keterangan semasa perbicaraan kesnya di Mahkamah Perlembagaan berhubung cubaan beliau untuk melaksanakan undang-undang tentera awal bulan lepas yang gagal, kata peguam Yoon pada Ahad, lapor Agensi Berita Yonhap.

Mahkamah tertinggi itu telah menetapkan tarikh untuk mengadakan lima sesi pendengaran bagi perbicaraan Yoon sehingga awal Februari, dengan pendengaran pertama dijadualkan pada 14 Januari.

Empat sesi lain jadualkan pada 16, 21, dan 23 Januari serta 4 Februari.

"Presiden merancang untuk hadir pada tarikh yang sesuai dan menyatakan pendiriannya," kata Yun Gap-geun, penasihat undang-undang Yoon, dalam satu mesej kepada pemberita.

Mesej Yun mencadangkan presiden mungkin akan hadir pada sesi pendengaran pertama.

Di bawah undang-undang mengenai prosiding Mahkamah Perlembagaan, presiden mesti menghadiri sesi pendengaran, manakala kehadirannya tidak diwajibkan pada sesi pendengaran persediaan sebelum prosiding rasmi bermula. Yoon tidak menghadiri sesi pendengaran persediaan itu.

Sekiranya beliau tidak hadir pada sesi pendengaran pertama, mahkamah boleh menetapkan semula tarikh berkenaan. Mahkamah akan meneruskan prosiding sekiranya beliau gagal hadir pada perbicaraan kali kedua.

Sejak Yoon digantung tugasnya berikutan pendakwaan itu, beliau telah menyatakan melalui pasukan pembelaannya bahawa beliau akan memberi tumpuan kepada perbicaraan itu.

Yoon menolak untuk mematuhi semua saman dan prosedur lain yang diminta oleh pihak berkuasa yang menyiasat kes undang-undang tentera, dengan perkhidmatan keselamatan presiden menghalang usaha penyiasat pada Jumaat untuk melaksanakan waran mahkamah bagi menahan Yoon.- BERNAMA-YONHAP

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM