fb fb fb fb fb

Ketua pembangkang Korea Selatan desak pemecatan Yoon Suk Yeol

Ketua pembangkang Korea Selatan, Lee Jae-myung / Foto REUTERS

SEOUL, 14 Disember-Ketua pembangkang Korea Selatan, Lee Jae-myung, berkata bahawa cara terbaik untuk memulihkan situasi di negara tersebut adalah dengan memecat Presiden Yoon Suk Yeol.

Kenyataan itu dibuat sehari sebelum undian parlimen yang dirancang untuk membahas tindakan Yoon menguatkuasakan undang-undang tentera yang hanya bertahan selama enam jam pada 3 Disember lalu.

Tindakan Yoon untuk menguatkuasakan undang-undang tentera mencetuskan krisis perlembagaan di negara itu dan mendorong desakan agar beliau meletakkan jawatan kerana melanggar undang-undang.

Yoon berjaya melepasi cubaan pertama untuk memecatnya seminggu sebelumnya apabila Parti Kuasa Rakyat (PPP) memboikot undian, menyebabkan kekurangan kuorum.

Namun, tujuh ahli PPP telah menyatakan niat mereka untuk menyokong pemecatan pada Sabtu.

Usul berkenaan hampir mencapai lapan undi yang diperlukan untuk memenuhi 200 undi, bersama 192 ahli parlimen parti pembangkang.

Yoon, dalam kenyataannya pada Khamis, berjanji untuk berjuang sehingga ke penghujung, menuduh parti pembangkang melumpuhkan kerajaan dan mendakwa terdapat penggodaman oleh Korea Utara ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya, yang menurutnya menyebabkan kekalahan besar partinya dalam pilihan raya parlimen April lalu.

Ketua Parti Demokratik, Lee Jae-myung, menganggap kenyataan Yoon sebagai "pengisytiharan perang" terhadap rakyat.

"Ini membuktikan bahawa pemecatan adalah cara paling pantas dan berkesan untuk mengakhiri kekeliruan ini," katanya.

Parti pembangkang telah mengemukakan rang undang-undang pemecatan baharu dan merancang untuk mengadakan undian pada pukul 4.00 petang (waktu tempatan) Sabtu ini.

Yoon kini disiasat atas tuduhan pemberontakan berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera.

Pada Jumaat, seorang komander tentera dari Komando Pertahanan Seoul dan dua pegawai polis tertinggi negara itu telah ditahan kerana didakwa terlibat dalam arahan undang-undang tentera, menurut agensi berita Yonhap.

Sementara itu, saham Korea Selatan meningkat untuk sesi keempat berturut-turut pada Jumaat dengan harapan ketidakstabilan politik akan reda selepas undian pemecatan parlimen hujung minggu ini.

Kementerian Kewangan menyatakan pihak berkuasa akan mengambil langkah-langkah tambahan untuk menstabilkan pasaran sekiranya berlaku peningkatan ketidaktentuan selepas keputusan undian pada Sabtu.

Menteri Luar Negeri, Cho Tae-yul, memaklumkan kepada parlimen bahawa pengisytiharan undang-undang tentera telah menyebabkan kerosakan serius kepada kedudukan diplomatik Korea Selatan.

Beliau turut memberi amaran kepada Yoon semasa mesyuarat kabinet bahawa langkah itu akan membawa kesan diplomatik dan berpotensi merosakkan pencapaian demokratik negara sejak penubuhannya.

Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Kurt Campbell, menyifatkan pengisytiharan itu sebagai amat bermasalah dan tidak sah.

Namun, AS dan rakan Barat lain kebanyakannya mengambil pendekatan berhati-hati, hanya menyuarakan kebimbangan umum terhadap kestabilan dan memuji keputusan Yoon untuk menarik balik perintah tersebut.

Krisis tersebut berlaku ketika Korea Selatan sedang bersiap sedia untuk berurusan dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat yang baharu, Donald Trump, yang sebelum ini pernah berselisih pendapat dengan Presiden Korea Selatan terdahulu mengenai perdagangan dan pembiayaan pasukan tentera AS di negara itu.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD