GAZA, 2 Januari - Sebanyak 37 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan antarabangsa diharamkan daripada beroperasi di Gaza selepas Israel menggantung lesen mereka atas alasan gagal memenuhi syarat keselamatan dan ketelusan.
Lesen operasi mereka dibatalkan berkuat kuasa 1 Januari 2026 dan diarahkan menghentikan semua aktiviti di Gaza selewat-lewatnya 1 Mac ini.
Susulan pembatalan lesen berkenaan, semua NGO terlibat tidak lagi dibenarkan menyalurkan bantuan ke Gaza bermula Khamis.
Bagaimanapun, lesen operasi NGO terbabit boleh dipertimbangkan untuk dipulihkan sekiranya dokumen yang dikehendaki dikemukakan sebelum tarikh akhir 1 Mac ini.
Sekatan itu sekali gus menjejaskan penyampaian bantuan kritikal kepada rakyat Palestin.
Antara NGO utama terkesan ialah Doctors Without Borders,Norwegian Refugee Council, Oxfam dan World Vision yang selama ini menjadi tulang belakang bantuan perubatan, makanan dan perlindungan di Gaza.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tindakan itu bakal memburukkan lagi krisis kemanusiaan, apabila hampir 80 peratus infrastruktur Gaza musnah dan kira-kira 1.5 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Beberapa NGO dan komuniti antarabangsa menyifatkan sekatan itu bercanggah dengan prinsip undang-undang kemanusiaan.
Tindakan zionis Israel itu disifatkan menghukum rakyat Palestin yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan antarabangsa. - AFP
