SEOUL, 2 Januari - Amaran gelombang sejuk dikeluarkan di kebanyakan kawasan negara itu pada Jumaat susulan penurunan mendadak suhu selepas kemasukan udara sejuk dari arah barat laut, menurut agensi meteorologi, lapor Agensi Berita Yonhap.
Amaran itu meliputi kawasan lebih luas di sekitar Seoul, wilayah Gangwon di timur, wilayah Chungcheong Utara di tengah negara serta beberapa kawasan lain, dengan suhu pagi mencecah sekitar negatif (-) 10 darjah Celsius (C), menurut Pentadbiran Meteorologi Korea.
Setakat jam 5 pagi, suhu dicatatkan pada -10.6C di Seoul, -11C di bandar barat Incheon, -13.6C di bandar tengah Chuncheon dan -5.6C di bandar pelabuhan tenggara Busan.
Suhu tertinggi harian diramalkan mencecah antara -5 hingga +4C.
Kawasan pesisir barat, termasuk wilayah Chungcheong Selatan dan Jeolla Utara, dijangka menerima hujan atau salji.
Sehingga Sabtu, wilayah Jeolla secara keseluruhan dijangka menerima salji setebal antara 2 hingga 7 sentimeter (cm), manakala antara 5 hingga 10cm salji diramalkan di pulau selatan Jeju serta pulau timur Ulleung dan Dokdo. - BERNAMA-YONHAP
