fb fb fb fb fb

Trump dedah amalan ambil aspirin, nafi tidur ketika mesyuarat

Presiden AS Donald Trump, 79 tahun/Foto AFP

WASHINGTON, 2 Januari - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau sejak sekian lama mengambil dos aspirin setiap hari melebihi kadar yang disyorkan dari segi perubatan, dengan alasan ia sudah menjadi satu kebiasaan dan kepercayaan peribadi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik wawancara dengan Wall Street Journal.

Trump berkata amalan itu menyebabkan beliau lebih mudah mengalami lebam, kecederaan yang kadangkala cuba disembunyikannya secara kosmetik dan turut mencetuskan persoalan mengenai tahap kesihatannya.

“Saya agak taksub,” kata Trump, 79 tahun.

“Mereka kata aspirin baik untuk mencairkan darah, dan saya tidak mahu darah pekat mengalir dalam badan saya. Saya mahu darah yang mengalir dengan baik melalui jantung saya,” katanya kepada akhbar berkenaan.

Dalam wawancara sama, Trump turut mendedahkan butiran baharu mengenai pemeriksaan perubatan yang dijalaninya pada Oktober lalu, dengan menyatakan bahawa beliau menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT) dan bukannya pengimejan resonans magnetik (MRI) seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Menurut laporan itu, seorang daripada doktor Trump mengarahkan imbasan CT berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga bagi menolak kemungkinan masalah kardiovaskular. Pemeriksaan tersebut tidak menunjukkan sebarang keabnormalan, menurut Trump. Rumah Putih turut mengesahkan penilaian itu selepas laporan berkenaan diterbitkan.

Trump, yang berkata beliau berada dalam keadaan kesihatan “sempurna”, turut menafikan dakwaan bahawa beliau tertidur semasa beberapa mesyuarat di Rumah Putih. Rakaman video sebelum ini menunjukkan beliau seolah-olah sukar untuk terus berjaga.

"Kadangkala mereka mengambil gambar saya ketika saya sedang berkelip, berkelip, dan mereka merakam saya semasa mata saya terpejam (berkelip)," kata Trump.

Rumah Putih menegaskan selepas wawancara itu bahawa presiden berada dalam keadaan cergas sepenuhnya untuk melaksanakan tugas beliau. - BERNAMA-dpa

GRACE AISYAH KEDAYAN