SEOUL, 3 Januari- Pihak berkuasa Korea Selatan memasuki kediaman Presiden Yoon Suk Yeol yang telah disingkirkan melalui pemecatan untuk melaksanakan waran tangkap pertama seumpamanya terhadap seorang presiden yang sedang berkhidmat.
Bagaimanapun, mereka berdepan halangan daripada pasukan keselamatan presiden di dalam kawasan itu.
Yoon kini disiasat atas tuduhan pemberontakan berikutan percubaannya mengenakan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu, yang mengejutkan negara tersebut, salah satu ekonomi terbesar Asia dan demokrasi paling dinamik di rantau itu.
Pasukan siasatan, termasuk pegawai dari Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) , tiba di pintu masuk kediaman Yoon pada awal pagi. Namun, bas yang diletakkan di laluan masuk menghalang kemasukan mereka.
Apabila berjaya memasuki kawasan itu, mereka berdepan lagi dengan halangan seperti kenderaan perisai dan pasukan keselamatan presiden (PSS) yang disokong oleh tentera. Jurucakap PSS menyatakan pihak berkuasa tidak dibenarkan menggeledah kediaman Yoon, menurut laporan agensi berita Yonhap.
Di luar kediaman, ratusan penyokong Yoon berkumpul sejak awal pagi, melaungkan sokongan terhadapnya. Mereka berikrar akan mempertahankan presiden dengan nyawa mereka.
Seorang penunjuk perasaan, Pyeong In-su, 74, berharap Presiden AS yang bakal menjawat, Donald Trump, akan membantu Yoon dengan menggunakan pengaruhnya.
Pada 3 Disember, Yoon mengejutkan negara dengan mengumumkan undang-undang tentera untuk menyelesaikan kebuntuan politik dan menangani "kuasa antinegara". Namun, dalam masa enam jam, beliau membatalkan dekri tersebut selepas mendapat tentangan besar-besaran ahli parlimen.
Bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun, yang membantu pelaksanaan undang-undang tentera itu, telah ditahan dan didakwa atas tuduhan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa.
Waran tangkap terhadap Yoon sah sehingga 6 Januari, dan pihak berkuasa hanya mempunyai 48 jam untuk menahannya jika dia ditangkap. Selepas itu, keputusan sama ada menahan atau membebaskan Yoon perlu dibuat.
Kes pemecatan Yoon sedang diteliti oleh Mahkamah Perlembagaan, yang akan menentukan sama ada beliau akan dikembalikan ke jawatan atau disingkirkan secara kekal.
Situasi itu menambahkan lagi ketegangan politik di Korea Selatan, dengan protes, sokongan awam, dan spekulasi politik yang terus meningkat.-REUTERS