fb fb fb fb fb

Lelaki maut diserang jerung di New Caledonia

Foto Hiasan

Noumea, 3 Januari - Seorang lelaki berusia 40 tahun maut akibat serangan jerung di wilayah luar negara Perancis, New Caledonia, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.

Mangsa yang sedang bercuti di Pulau Kendek bersama-sama keluarganya pada Khamis diserang ketika sedang memancing, menurut kenyataan pejabat pendakwa raya.

Serangan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan serius pada bahagian tangan.

Mangsa dibawa ke hospital di Grande Terre, pulau utama New Caledonia, namun keluarganya mendapati jabatan kecemasan telah ditutup sejak 1 Januari kerana kekurangan kakitangan.

Pasukan perubatan dihantar dari selatan, tetapi usaha resusitasi tidak berjaya menyelamatkan mangsa, menurut kenyataan tersebut.

Tiada maklumat tentang spesies jerung yang terlibat dalam serangan itu, kata pejabat pendakwa raya. - AFP

TETITIA YUSOFF