SEOUL, 3 Januari - Penyiasat Korea Selatan memasuki kediaman Presiden Yoon Suk Yeol yang telah digantung tugas pada Jumaat bagi melaksanakan waran tangkap terhadapnya berhubung pengisytiharan darurat tentera yang gagal.
Tindakan itu, menjadikannya pemimpin pertama dalam sejarah negara itu yang berdepan penahanan dan digantung tugas ketika masih memegang jawatan.
Yoon digantung tugas oleh parlimen selepas pengisytiharan darurat pada 3 Disember, kini berdepan risiko ditahan, dipenjarakan atau hukuman mati.
"Pelaksanaan waran tangkap terhadap Presiden Yoon Suk Yeol telah bermula," kata Pejabat Penyiasatan Rasuah (CIO), yang sedang menyiasat pengisytiharan darurat tentera itu, dengan pegawai dan polis dilihat memasuki kediaman presiden.
Puluhan bas polis dan ratusan anggota polis beruniform berbaris di luar kediaman itu dengan kira-kira 2,700 anggota polis dan 135 bas ditempatkan di kawasan tersebut bagi mengelakkan pertembungan, lapor agensi berita Yonhap.
Penyokong Yoon, yang terdiri daripada personaliti YouTube berhaluan kanan dan paderi Kristian evangelis berkumpul di luar kediaman sepanjang malam mengadakan sesi doa semalaman sambil melaungkan "Waran tangkap haram tidak sah" dan memegang batang cahaya merah.
Ketua CIO, Oh Dong-woon, memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang menghalang penahanan Yoon boleh berdepan pendakwaan.
Selain waran tangkap, mahkamah Seoul turut mengeluarkan waran geledah untuk kediaman rasmi Yoon dan beberapa lokasi lain, kata seorang pegawai CIO. - AFP