WASHINGTON, 3 Januari - Penyanyi kumpulan The Osmonds, Wayne Osmond meninggal dunia pada usia 73 tahun, menurut kenyataan abangnya pada Khamis.
Osmond menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Salt Lake City, Utah, selepas mengalami strok, kata abangnya Merrill Osmond dalam hantaran di Facebook.
"Saya tidak pernah mengenali seorang lelaki yang lebih rendah hati. Seorang lelaki yang benar-benar tiada sifat dengki," tulisnya.
"Seorang individu yang cepat memaafkan dan mempunyai kemampuan untuk menunjukkan kasih sayang tanpa syarat kepada semua orang yang pernah ditemuinya." tambahnya lagi.
Wayne Osmond merupakan anak keempat daripada sembilan adik-beradik yang dibesarkan dalam keluarga Mormon di Ogden, Utah.
Kerjaya mereka bermula pada tahun 1950-an apabila Wayne, Alan, Merrill, dan Jay menyanyi sebagai kuartet barbershop.
Pada tahun 1961, empat beradik itu ditemui sedang menyanyi di Disneyland. Mereka mendapat perhatian melalui rancangan televisyen, dan populariti mereka meningkat.
Kemudian adik-beradik lain seperti Donny dan Jimmy turut menyertai, bersama adik perempuan mereka, Marie.
Pada tahun 1971, kumpulan itu mencapai kemuncak kejayaan mereka dengan lagu "One Bad Apple," yang kekal di tangga teratas Billboard 100 selama lima minggu, menurut majalah People.
Tidak lama selepas itu, kumpulan tersebut berpecah.
Wayne Osmond berkahwin dengan Kathlyn White, seorang bekas ratu cantik, pada tahun 1974. Mereka dikurniakan lima orang anak.
Wayne Osmond mengalami pelbagai masalah kesihatan sepanjang hidupnya. Pada tahun 1997, beliau didiagnosis dengan tumor otak dan kehilangan hampir semua pendengarannya akibat rawatan, menurut laporan People.
Kemudian, pada tahun 2012, beliau mengalami strok yang menyebabkan beliau tidak lagi mampu bermain gitar.- AFP