BEIRUT, 3 Januari- Israel melancarkan serangan udara ke atas kedudukan tentera Syria di selatan Aleppo, iaitu serangan terbaharu sejak kejatuhan pemimpin Bashar al-Assad, menurut pemerhati perang dan penduduk tempatan.
Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) berkata serangan itu menyasarkan kemudahan pertahanan dan penyelidikan.
SOHR menyebut bahawa sekurang-kurangnya tujuh letupan besar kedengaran, susulan daripada serangan udara Israel ke atas kemudahan pertahanan di selatan Aleppo.
Tiada maklumat segera berkenaan angka korban.
Sementara itu, penduduk melaporkan mendengar letupan besar di kawasan itu.
"Mereka menyerang kilang pertahanan, lima serangan... Serangan itu sangat kuat. Ia menggegarkan tanah, pintu dan tingkap terbuka. Serangan paling kuat yang pernah saya dengar... Ia menjadikan malam seperti siang", kata seorang penduduk kawasan al-Safira, yang enggan dikenali, memberitahu AFP.
Sejak penentang kerajaan menggulingkan Assad pada awal Disember lalu, Israel telah melancarkan ratusan serangan ke atas aset ketenteraan Syria, dengan alasan untuk menghalang senjata jatuh ke tangan musuh.-AFP