fb fb fb fb fb

Pesawat China Eastern bawa 133 orang terhempas di China

BEIJING, 21 Mac- Sebuah pesawat penumpang China Eastern Airlines yang membawa 133 orang dilaporkan terhempas di selatan China dan menyebabkan kebakaran di satu kawasan pergunungan.

Bagaimanapun menurut stesen penyiar kerajaan, CCTV pada Isnin, jumlah kematian sebenar belum diketahui.

Pesawat Boeing 737 terhempas di kawasan luar bandar berhampiran bandar Wuzhou, wilayah Guangxi “menyebabkan kebakaran gunung,” lapor CCTV yang memetik kenyataan biro pengurusan kecemasan wilayah tersebut.

Laporan sama menyebut, pasukan keselamatan telah dikerah ke lokasi nahas.


(Pesawat Boeing 737-10, 737 MAX terbesar/Fail AFP)

CCTV melaporkan, "pesawat Boeing 737 China Eastern Airlines yang membawa 133 orang telah terhempas di daerah Teng, Wuzhou, Guangxi dan menyebabkan kebakaran di kawasan gunung."

Laporan media tempatan pula menyebut pesawat penerbangan MU5735 itu gagal tiba di Guangzhou mengikut jadual ditetapkan selepas pesawat itu berlepas dari bandar Kunming sebelum 1.00 tengah hari Isnin, memetik kenyataan kakitangan lapangan terbang.

Setakat awal petang, pihak China Eastern belum memberi sebarang reaksi berhubung insiden itu. –AFP

 

Media Baharu